Thursday, December 8, 2011

Wanita dan Kerjaya

Gambar: SINI
Oleh NURBALQIS HAYATI AHMAD NAJIH

Penglibatan dan peranan wanita dalam membangunkan masyarakat dan negara adalah penting berasaskan kepada tugas dan tanggungjawab malah merupakan satu usaha positif untuk mencapai tahap lebih tinggi berdasarkan kepada konsep pembangunan bersepadu iaitu dari aspek fizikal dan mental setanding dengan kaum lelaki.

Islam tidak menghalang wanita untuk melakukan pekerjaan di luar rumah sekiranya ia merupakan keperluan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Malahan Islam menganggap pekerjaan yang dilakukan oleh wanita atau lelaki merupakan suatu ibadah selagi dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tidak terkeluar dari landasan dan peraturan Islam.

Sebagai contoh, wanita-wanita pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. turut sama membantu keluarga mereka seperti menggembala, bertani, berniaga dan sebagainya. Contohnya Asma´ binti Abu Bakar yang bekerja sebagai petani dan membantu suaminya mengangkut hasil buah tamar dari ladang ke pasar yang jauhnya kira-kira 1.4 km.

Adalah menjadi kebiasaan bagi wanita bekerja membantu keluarga dan penglibatan mereka tidak menimbulkan masalah kerana dalam budaya masyarakat Malaysia tugas-tugas di luar rumah sudah menjadi perkara biasa dan sangat diharapkan bagi membantu menambahkan pendapatan keluarga yang nyata memerlukan sumber kewangan lebih.

Secara lazimnya, seseorang wanita yang telah berumah tangga akan bertanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir keluarga serta melaksanakan tugas sebagai seorang isteri atau ibu. Maka perbelanjaan rumah yang diberikan mesti digunakan sebaik mungkin dan pelajaran anak-anak juga merupakan keutamaan bagi seorang wanita.

Bagi wanita yang berkerjaya, tanggungjawab mereka juga semakin bertambah kerana wanita yang berkerjaya perlu melaksanakan tanggunjawab sebagai pekerja dan memastikan segala tugasan dilakukan dengan sempurna maka secara tidak langsung wanita bukan sahaja memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu, malahan sebagai pekerja.

Faktor pertama yang menyebabkan wanita bekerja ialah pendidikan yang mereka miliki dan keiinginan untuk mahu menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang ada secara total.

Tidak dapat disangkal lagi wanita yang bekerja dapat mengimplementasikan pengetahuan dan kemahiran yang ada pada mereka dan dalam masa yang sama mereka mampu memperoleh pendapatan sendiri sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Perubahan sosial dan keperluan ekonomi yang tinggi juga merupakan antara faktor wanita keluar bekerja kerana tuntutan ini memerlukan mereka membantu suami untuk membentuk keluarga yang bahagia dan selesa serta meringankan beban suami.

Walau apa sekalipun faktor yang menjuruskan wanita, isteri dan ibu keluar bekerja, tanggungjawab dan pembahagian masa antara keluarga dan kerjaya perlulah seiringan agar tidak mengabaikan mana-mana pihak.

Wanita yang bekerja perlu memastikan keperluan rumahtangga dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu perlu dilaksanakan sebaik mungkin walaupun mereka terpaksa bekerja pada siang harinya dan ketika di pejabat mereka juga perlu memberikan komitmen yang penuh untuk melunaskan tugas yang diberikan kepada mereka.

Wanita perlu menghargai kepercayaan yang diberikan oleh suami kepada mereka dan perlu menjaga nama baik suami dan keluarga ketika berada diluar dan pihak suami sewajarnya memberi perhatian dan panduan serta bimbingan sekiranya isteri mereka memerlukan pendapat dan tempat untuk meluahkan masalah kerana sifat tolak ansur dan tolong-menolong ini mampu melahirkan keluarga yang aman bahagia.

SUMBER: Halaqah.net

Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Saturday, October 29, 2011

Bicara Buku "Fikh Kerahsiaan Wanita" Mendapat Sambutan

Alhamdulillah. 26 Oktober 2011 yang lalu, Kelab Nisa' Gelang Patah telah menganjurkan program Bicara Buku "Fikh Kerahsiaan Wanita", di mana penceramah yang berkongsi ilmu dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengahari itu ialah Ustaz Fauwaz Fadzil. Pendaftaran yang bermula jam 9 pagi telah mengumpulkan lebih 200 orang peserta dari segenap lapisan umur dan jantina.

Program yang diadakan pada cuti Hari Deepavali itu tidak lain tidak bukan adalah bertujuan untuk memberi penjelasan dengan lebih terperinci mengenai buku terjemahan Ustaz Fauwaz Fadzil, "Fikh Kerahsiaan Wanita". Beberapa bab dalam buku tersebut dikupas oleh ustaz sebelum bermulanya sesi soal jawab di akhir program. Cabutan bertuah turut diadakan di penghujung program sebagai menghargai para peserta yang hadir ke program yang diadakan di Masjid Jamek Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti ini.

Antara peserta yang hadir

Antara peserta yang hadir

Ustaz Fauwaz Fadzil menyampaikan hadiah cabutan bertuah

Ustaz Fauwaz Fadzil menyampaikan hadiah cabutan bertuah

Pengarah program, saudari Ainul Hakimah menyampaikan cenderahati pernghargaan kepada Pengarah Masjid Jamek Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti

Ustaz Fauwaz Fadzil memenuhi hajat peserta yang mahu mengambil tandatangan

AJK program mengambil gambar kenangan bersama Ustaz Fauwaz Fadzil

Kelab Nisa' Gelang Patah, diketuai oleh saudari Ainul Hakimah mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Ustaz Fauwaz Fadzil, pihak Masjid Jamek Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti, semua AJK program dan para peserta yang bersama-sama menjayakan program ini. Semoga lebih banyak program seperti ini mendapat sambutan dari masyarakat setempat pada masa akan datang.

Kredit gambar kepada: Saudari Juninah

Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Sunday, October 23, 2011

Bicara Buku "Fikh Kerahsiaan Wanita"


Semua dijemput hadir mengimarahkan majlis ilmu~

Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~