Showing posts with label wanita. Show all posts
Showing posts with label wanita. Show all posts

Wednesday, February 15, 2012

Cintailah Perempuan Yang Membaca

Gambar dari SINI

Cintailah perempuan yang membaca. Perempuan yang berhabis duit untuk buku dan bukan baju. Dia punya masalah dengan ruang lemari baju, kerana dia punya terlalu banyak buku. Cintailah perempuan yang punya senarai buku-untuk-dibaca, perempuan yang punya kad perpustakaan sejak dia dua-belas tahun usia.

Carilah perempuan yang membaca. Dialah perempuan yang sentiasa menyimpan buku yang belum dibaca dalam tas tangannya. Dialah yang meninjau-ninjau di dalam kedai buku dengan penuh rasa kasih sayang. Yang menjerit kecil apabila ketemu buku yang dicari. Kau lihat gadis aneh yang mencium bau halaman buku lama di kedai buku terpakai itu? Itulah dia perempuan yang membaca. Dia tidak akan dapat tahan nafsu untuk menghidu halaman buku lama, terutamanya yang sudah mulai kuning.

Dialah perempuan yang membaca sambil menunggu di kedai kopi hujung jalan sana. Kalau kau lihat cawan kopinya, krimer bukan tenusu maseh lagi terapung di atas, dia sudah pun keasyikan. Hilang tenggelam dalam dunia bikinan si penulis. Duduklah di sebelahnya. Dia mungkin akan menjeling, kerana perempuan yang membaca tidak suka diganggu ketika membaca. Tanyalah jika dia suka buku yang dibacanya itu.

Belikan dia secawan kopi lagi.

Katakan pada dia apa yang kau fikir tentang Murakami. Lihat sama ada dia sudah melepasi bab pertama Fellowship. Fahami bahawa jika dia katakan yang dia faham Ulyssesnya si James Joyce, itu hanyalah kerana mahu kelihatan cerdik. Tanyakan kalau-kalau dia suka Alice, atau jika dia mahu menjadi Alice.

Alangkah senang bercinta dengan perempuan yang membaca. Hadiahkan dia buku pada hari jadinya, pada Hari Natal dan pada setiap ulangtahun. Hadiahkan padanya hadiah kata-kata, dalam puisi, dalam lagu. Berikan dia Neruda, Pound, Sexton, Cummings. Biar dia mengerti bahawa kau memahami yang kata-kata itu adalah cinta. Fahamilah yang dia sememangnya tahu beza antara dunia buku dan realiti, walau dia bersungguh juga mahu bikin hidupnya seakan buku yang paling dia suka. Bukan salah kau kalaupun di mencuba begitu.

Apa cara pun, dia mesti akan perlu mencuba juga.

Berbohonglah padanya. Jika dia memahami sintaks, dia akan faham keperluan kau untuk berbohong. Di balik kata-kata ada perkara-perkara lain: motivasi, nilai, nuansa, dialog. Tidak akan kiamat lagi dunia, kalau kau bohong padanya.

Kecewakan dia dengan kegagalan. Kerana perempuan yang membaca tahu bahawa kegagalan selalunya membawa kepada klimaks jalan cerita. Kerana perempuan yang membaca faham bahawa tidak semua perkara berakhir begitu sahaja. Masih boleh ditulis sekuelnya. Masih boleh mula semula, lagi dan lagi, dan masih boleh jadi hero. Dia faham bahawa dalam hidup, mesti ada satu dua watak jahat.

Kenapa takutkan segala yang bukan kau? Perempuan yang membaca memahami bahawa manusia, sama juga seperti watak dalam buku, berkembang. Kecuali dalam siri Twilight.

Kalau kau ketemu perempuan yang membaca, janganlah dibiar pergi jauh. Bila kau ketemu dia di tengah malam jam dua pagi sedang memeluk buku ke dadanya dan menangis, buatkanlah dia secawan teh dan peluk dia rapat-rapat. Kau mungkin kehilangan dia untuk seketika, tetapi dia tetap akan kembali pada kau. Dia akan berbicara seolah watak di dalam buku itu hidup, kerana untuk satu ketika, watak-watak itu benar-benar hidup.

Kau akan melamarnya di atas belon udara panas. Atau ketika konsert rock. Atau secara bersahaja bila dia jatuh sakit. Atau melalui Skype.

Kau akan tersenyum sampai telinga dan tertanya-tanya kenapa jantung kau masih belum meletup keluar dari rongga dada. Kau akan menulis kisah hidup kau berdua, punya anak-anak dengan nama pelik-pelik dan selera yang bukan-bukan. Dia akan perkenalkan anak kau kepada Cat in the Hat dan Aslan, barangkali pada hari yang sama. Kau akan berjalan di musim salji bersamanya bila sudah berusia nanti, dan dia akan bacakan Keats dengan nada lembut sambil kau ketis salji dari kasut.

Cintailah perempuan yang membaca kerana kau berhak. Kau berhak untuk dapat seorang perempuan yang boleh memberi kau kehidupan penuh warna. Kalau kau hanya sugul, membosankan dan tidak serius, adalah lebih baik kau bersendirian. Kalau kau mahukan dunia, dan dunia-dunia di sebaliknya, cintailah perempuan yang membaca.

Atau lebih baik, cintailah perempuan yang menulis.

Artikel diambil dari SINI.

Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Thursday, December 8, 2011

Wanita dan Kerjaya

Gambar: SINI
Oleh NURBALQIS HAYATI AHMAD NAJIH

Penglibatan dan peranan wanita dalam membangunkan masyarakat dan negara adalah penting berasaskan kepada tugas dan tanggungjawab malah merupakan satu usaha positif untuk mencapai tahap lebih tinggi berdasarkan kepada konsep pembangunan bersepadu iaitu dari aspek fizikal dan mental setanding dengan kaum lelaki.

Islam tidak menghalang wanita untuk melakukan pekerjaan di luar rumah sekiranya ia merupakan keperluan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Malahan Islam menganggap pekerjaan yang dilakukan oleh wanita atau lelaki merupakan suatu ibadah selagi dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tidak terkeluar dari landasan dan peraturan Islam.

Sebagai contoh, wanita-wanita pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. turut sama membantu keluarga mereka seperti menggembala, bertani, berniaga dan sebagainya. Contohnya Asma´ binti Abu Bakar yang bekerja sebagai petani dan membantu suaminya mengangkut hasil buah tamar dari ladang ke pasar yang jauhnya kira-kira 1.4 km.

Adalah menjadi kebiasaan bagi wanita bekerja membantu keluarga dan penglibatan mereka tidak menimbulkan masalah kerana dalam budaya masyarakat Malaysia tugas-tugas di luar rumah sudah menjadi perkara biasa dan sangat diharapkan bagi membantu menambahkan pendapatan keluarga yang nyata memerlukan sumber kewangan lebih.

Secara lazimnya, seseorang wanita yang telah berumah tangga akan bertanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir keluarga serta melaksanakan tugas sebagai seorang isteri atau ibu. Maka perbelanjaan rumah yang diberikan mesti digunakan sebaik mungkin dan pelajaran anak-anak juga merupakan keutamaan bagi seorang wanita.

Bagi wanita yang berkerjaya, tanggungjawab mereka juga semakin bertambah kerana wanita yang berkerjaya perlu melaksanakan tanggunjawab sebagai pekerja dan memastikan segala tugasan dilakukan dengan sempurna maka secara tidak langsung wanita bukan sahaja memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu, malahan sebagai pekerja.

Faktor pertama yang menyebabkan wanita bekerja ialah pendidikan yang mereka miliki dan keiinginan untuk mahu menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang ada secara total.

Tidak dapat disangkal lagi wanita yang bekerja dapat mengimplementasikan pengetahuan dan kemahiran yang ada pada mereka dan dalam masa yang sama mereka mampu memperoleh pendapatan sendiri sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Perubahan sosial dan keperluan ekonomi yang tinggi juga merupakan antara faktor wanita keluar bekerja kerana tuntutan ini memerlukan mereka membantu suami untuk membentuk keluarga yang bahagia dan selesa serta meringankan beban suami.

Walau apa sekalipun faktor yang menjuruskan wanita, isteri dan ibu keluar bekerja, tanggungjawab dan pembahagian masa antara keluarga dan kerjaya perlulah seiringan agar tidak mengabaikan mana-mana pihak.

Wanita yang bekerja perlu memastikan keperluan rumahtangga dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu perlu dilaksanakan sebaik mungkin walaupun mereka terpaksa bekerja pada siang harinya dan ketika di pejabat mereka juga perlu memberikan komitmen yang penuh untuk melunaskan tugas yang diberikan kepada mereka.

Wanita perlu menghargai kepercayaan yang diberikan oleh suami kepada mereka dan perlu menjaga nama baik suami dan keluarga ketika berada diluar dan pihak suami sewajarnya memberi perhatian dan panduan serta bimbingan sekiranya isteri mereka memerlukan pendapat dan tempat untuk meluahkan masalah kerana sifat tolak ansur dan tolong-menolong ini mampu melahirkan keluarga yang aman bahagia.

SUMBER: Halaqah.net

Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Thursday, August 11, 2011

Akhwat Selekeh???

Oleh

Dari jauh, nampak seorang bertudung labuh memegang mushaf al-Qurannya bersama beg disandang ke belakang. Nampak seperti langkahnya cepat untuk ke kuliah. Tudungnya mengerbang ke sana ke mari. Nampak kedutan di kain tudungnya yang langsung tidak sepadan dengan baju yang dipakai. Entah berapa minggu tudung itu tidak berbasuh. Hentakannya kasar ketika menaiki tangga kuliah. Stoking hitamnya yang sudah lama tidak ditukar terselak.

Seusai habis kuliah lewat jam 4 petang, segera dia meluru ke biliknya di aras 3. Dilemparkan beg sandangnya dan segera dia merebahkan diri ke katil yang dipenuhi baju-baju yang tidak berlipat. Penat. Di hujung katil, kelihatan bakul yang dipenuhi baju-baju yang tidak berbasuh selama 2 minggu menambahkan lagi haruman busuk di biliknya. Buku-buku pula berselerakan di atas meja. Biliknya betul-betul bersepah.

Sibuk adalah alasan utamanya apabila ditanya tentang kekemasan bilik. Pagi hingga petang ke kuliah. Selepas itu pula ziarah dan silaturrahim bersama mad’u dan akhwat. Malamnya pula kalau bukan study group atau assignment, ada halaqah atau taklim. Hampir setiap hari rutinnya sebegitu. Masa yang diperuntukkan untuk menseterika baju/tudung, membasuh baju dan menyusun buku serta menjaga kekemasan diri seolah-olah tiada.

Inikah nilai diri bagi seseorang telah ditarbiyah sedangkan tarbiyah mengajar kita untuk menunjukkan qudwah yang baik kepada orang sekeliling?


Kekemasan diri

Adakah tugas dakwah menjadi alasan utama bagi seorang akhwat untuk tidak menjaga kekemasan diri dan sekitarnya?

Seorang akhwat perlu menjaga setiap apa yang dipakainya dan menjaga kekemasan luaran dan dalaman. Jangan kita hanya menjaga kekemasan dalaman sahaja tanpa memikirkan soal luaran. Pandangan pertama objek dakwah pada seorang da’ie adalah luarannya dan itulah perkara pertama yang membuat mereka tertarik minat pada kita.

Kekemasan luaran adalah menjaga kekemasan serta kebersihan pakaian dan bagaimana cara kita mengelolakan harta benda kita. Ia melibatkan banyak perkara namun distresskan pada sesetengah perkara khususnya seterika/ kebersihan/ kesepadanan tudung, baju dan stoking disamping kekemasan bilik.

Berapa ramaikah akhwat yang tidak basuh tudung, stoking dan handsocknya selama berminggu-minggu?

Berapa ramaikah akhwat yang malas seterika tudung dan baju kurungnya untuk keluar?

Berapa ramaikah akhwat yang memakai tudung tidak sepadan dengan warna baju?

Berapa ramai akhwat yang biliknya sentiasa bersepah apabila akhwat lain datang ziarah?

Kalau tiada, ini satu keputusan yang bagus. Namun kalau masih ada berperilaku sebegini, ayuh ubahlah diri. Kita ini akhwat. Kita mesti lagi faham dan arif soal kebersihan dan kekemasan. Jangan sampai kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Orang memandang puak yang bertudung labuh ini sebagai satu puak. Jika, salah seorang kita merosakkan imej mereka yang bertudung labuh, maka seluruhnya akan terkena.


Salah faham ‘kekemasan vs tabarruj’

Mungkin ada juga yang akan beralasan, kami ini tidak mahu bertabrruj. Kami akan berkemas-kemas hanya di depan suami sahaja. Jadi, tidak ada gunanya kami berkemas-kemas apabila keluar!

Tabarruj itu terang-terangan salah. Namun menjaga kekemasan diri, pakaian dan barang peribadi itu tidak salah.

Saya faham, akhwat tidak mahu berkemas-kemas apabila keluar rumah kerana ditakuti dipandang oleh bukan mahram. Namun, perlukah sampai tidak mengambil kira soal kekemasan untuk tidak dipandang?

Adakah perlu sampai nampak selekeh di hadapan khalayak ramai? Adakah sampai tidak perlu menseterika tudung, membasuh tudung dan menukarnya mengikut kesesuaian warna, tidak mandi, tidak memakai deodorant/bedak dan sebagainya?

Janganlah begitu duhai akhwat fillah. Kita sememangnya menjaga diri kita daripada gangguan dan pandangan lelaki, namun tidaklah perlu sebegitu ekstremis. Kita mesti mengambil kira soal pandangan objek dakwah/mad’u pada kita juga. Kita perlu menunjukkan qudwah yang baik kepada mereka. Mereka itu sentiasa melihat setiap gerak geri kita dan cara kita berpakaian.


Penutup: Selekeh itu bukan akhwat

Akhwat bukan selekeh. Selekeh itu bukan sikap akhwat. Semoga kita sama-sama perbaiki diri kita. Bukan dalaman sahaja. Tapi luaran juga.

Ambillah masa untuk menseterika baju dan tudung ketika punya masa lapang seperti waktu petang atau tengah malam sebelum tidur. Halaqah atau taklim bukanlah dilakukan setiap malam. Ziarah dan silaturrahim juga tidak perlu dilakukan setiap petang. Buatlah jadual yang sesuai dengan loading kerja dakwah dan studi kita. Jika tidak sempat untuk membasuh baju, carilah hari dalam seminggu untuk membasuh baju menggunakan mesin basuh yang disediakan. Kemaslah katil, meja dan rak buku sebelum melangkahkan kaki keluar ke kuliah. Jadikanlah bilik kita sentiasa kemas semasa ketiadaan kita.

Semoga dengan qudwah sedikit yang kita tonjolkan ini, ramai objek dakwah di luar sana tidak ragu-ragu untuk menerima dakwah kita.

Islam itu cantik dan indah.

Janganlah merosakkan kecantikan islam hanya kerana kita tidak menjaga kekemasan diri.

Kita ini dai’e.

Seorang dai’e jika dalamannya cantik, luaran juga cantik.

p/s: Cantik bukan erti kata rupa.

Gambar: Google

Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Monday, June 20, 2011

Wanita dan Sukan Menurut Perspektif Islam

Sumber gambar: SINI

Susunan NOORZIHAN MOHAMED YIN

Sukan merupakan suatu aktiviti yang memiliki banyak kelebihan tidak hanya terhad kepada kebaikan daripada segi fizikal dan sosial malahan juga dari segi psikologi. Kebaikan-kebaikan ini adalah sebagai suatu ´keperluan asas´ bagi kedua-dua gender sebagai satu kaedah bagi memastikan tahap kesihatan fizikal mahupun emosi berada di dalam keadaan yang terbaik.

Pada asasnya, Islam tidak pernah menolak sebarang bentuk aktiviti sukan malah Islam sangat menggalakkan umatnya bersukan sebagai suatu aktiviti riadah yang menyihatkan. Rasulullah s.a.w turut menganjurkan umatnya menyertai aktiviti sukan sebagai suatu aktiviti senaman yang paling mujarab.

Islam sebagai agama yang syumul, senantiasa mengambil berat tentang hal ehwal umatnya disamping menjaga hubungannya dengan Pencipta Yang Maha Agung. Walau bagaimanapun, Islam turut menetapkan beberapa syarat dan peraturan yang perlu digunapakai sebagai rujukan dalam menjana setiap gerak-geri umatnya bertujuan agar tidak terpesong daripada ajaran Islam yang hakiki.
Justeru, perkaitan di antara sukan dan penglibatan kaum wanita turut dibatasi dengan tata cara dan tertib yang telah digarispanduankan oleh Islam bertujuan sebagai suatu penetapan bagi mencipta garis keseimbangan di antara hal wanita Islam di dalam sukan dan kepentingan dalam memelihara maruah dan kedudukannya sebagai seorang Muslim.

Dalam situasi ini, Islam telah menyediakan satu garis panduan sebagai suatu metode rujukan bertujuan untuk memelihara kehormatan kaum wanita Muslim daripada perkara-perkara yang boleh melanggar batas-batas moral dan akidah Muslim.

Fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Kesatuan Eropah menerusi Timbalan Pengerusinya, Sheikh Faysal Mawlawi menegaskan bahawa:

“Perkara asas yang perlu dititikberatkan oleh seorang wanita Islam mengenai penyertaannya di dalam aktiviti sukan adalah menjaga auratnya. Aurat bagi seorang wanita Islam ialah keseluruhan anggota badan kecuali muka dan telapak tangannya.

“Manakala aurat bagi seorang lelaki Islam pula ialah dari pusat hingga ke lutut. Justeru, selagi syarat dan peraturan penutupan aurat ini tidak dilanggar, maka, tidaklah menjadi suatu kesalahan atau halangan bagi wanita mahupun lelaki melibatkan diri mereka di dalam aktiviti sukan.”

Dr. Ali Muhyy Ed-Deen Al-Qara Daaghi, Ketua di Jabatan Usul al Fiqh, Fakulti Syariah, Universiti Qatar menambah:

“Tidak dapat disangkal bahawa agama Islam tidak pernah menghalang kaum wanita melibatkan diri mereka di dalam sukan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang perlu diambil kira. Syarat-syarat tersebut adalah:

1) Wanita dilarang memperagakan diri mereka dengan tujuan menarik perhatian kaum lelaki.

2) Wanita dilarang mendedahkan aurat mereka.

3)Wanita dilarang bergaul dengan kaum lelaki sehingga melanggar batas-batas pergaulan.”

Bersukan dan beriadah merupakan ´hiasan hidup´. Justeru, berlebih-lebih sehingga mengorbankan perkara-perkara yang menjadi kehendak dan keperluan di dalam hidup apatah lagi jika perkara tersebut merupakan keperluan asasi adalah berlawanan dengan fitrah Islam. Semua perkara yang diharuskan disertakan bersamanya syarat tidak keterlaluan kerana Allah s.w.t. tidak menyukai golongan yang melampau dan berlebih-lebihan.

Aktiviti sukan dan riadah ini tidak seharusnya menjadi faktor penyebab bagi wanita khasnya dan lelaki khususnya lalai daripada memenuhi tuntutan agama dan kewajipan dunia. Individu dan masyarakat Muslim tidak kira lelaki mahupun wanita dituntut supaya mengimbangi di antara kehendak dirinya dan kewajipan yang dituntut agama.

Sumber: YADIM

Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~