Monday, August 30, 2010

Promosi istimewa pelepasan azab neraka

Alangkah cepatnya masa berlalu, ketika kita mula merasakan seronok melaksanakan ibadah, Ramadhan semakin hampir menutupkan tirainya. Sepuluh hari terakhir Ramadhan adalah saat di mana Rasulullah SAW meningkatkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf dan mengejutkan ahli keluarga untuk bersama dengannya.

Berlalunya sebahagian besar dari hari-hari Ramadhan sewajarnya menimbulkan kecemasan kepada kita. Apakah selama 19 hari kita berpuasa benar-benar telah menjadikan kita manusia yang bertakwa atau sebaliknya?




Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW apabila masuknya sepuluh malam terakhir (Ramadhan) baginda menghidupkan malam, baginda mengemaskan kainnya dan baginda mengejutkan isterinya (yakni tidak bersama dengan isteri).

Hadis ini menceritakan kepada kita bagaimana Nabi SAW bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah meskipun baginda tidak melakukan dosa. Namun baginda telah memberikan satu contoh tauladan yang baik kepada umatnya di dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadhan.

Panduan yang diberikan oleh baginda ini menggambarkan betapa tinggi nilainya saat yang kita lalui sekarang. Menjadi suatu yang amat malang sekiranya kita semakin lemah dan cuai dalam melakukan ibadah meskipun Ramadhan semakin hampir meninggalkan kita.

Imam Muslim juga meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a berkata: Bahawa Nabi SAW bersungguh-sungguh (beribadat) pada 10 malam terakhir tidak seperti mana (di bulan) selainnya.




Contoh yang ditinggalkan kepada kita oleh baginda SAW wajar dijadikan pedoman di dalam mengisi hari-hari terakhir Ramadhan ini. Sepatutnya waktu ini tidak dihabiskan dengan menonton televisyen atau mengunjungi pusat-pusat membeli belah. Kerana inilah fenomena yang sering kita lihat.

Kelebihan 10 malam terakhir seolah-olah tidak langsung diambil kira. Malah lebih mendukacitakan, ada di kalangan muda-mudi Islam yang keluar malam ke taman-taman untuk memadu kasih tanpa rasa berdosa dan malu.

Sepatutnya bapa sebagai ketua keluarga mengambil berat soal membudayakan suasana ibadah khususnya pada 10 malam terakhir ini. Anak-anak perlukan satu panduan dan contoh dari ibu bapa.

Sebaliknya jika ibu bapa turut serta mengabaikan ibadah di penghujung Ramadhan maka tidak hairanlah anak-anak tidak berminat untuk mengerjakan solat tarawih sebaliknya datang ke masjid atau surau hanya untuk membuat bising dan bermain mercun.

Apa yang dimaksudkan dengan baginda SAW menghidupkan malam dan mengemaskan kain sarungnya ialah sebagai satu gambaran bagaimana bersungguhnya baginda menumpukan saat ini dengan ibadah sehinggakan baginda tidak bersama dengan isteri untuk 10 malam terakhir ini.

Kesungguhan ini didorong pula dengan kelebihan sepuluh malam terakhir yang dijanjikan dengan kehadiran malam Al-Qadr atau Lailatulqadar.

Firman Allah SWT: Maksudnya:

"(Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan, Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan)." (al-Qadr: 1-3)

Malam al-Qadr sengaja dirahsiakan oleh Allah Taala sebagai satu ujian kepada umat Islam di dalam mencari rahmat dan kasih-Nya. Bagi mereka yang benar-benar beriman keghairahan mencari redha Allah menjadikan mereka begitu teruja meningkatkan pencarian ganjaran berlipatganda yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Sebaliknya bagi mereka yang alpa, saat-saat ini seringkali dipenuhi dengan aktiviti persiapan hari raya yang menyibukkan mereka hingga terlupa promosi istimewa pelepasan azab neraka yang dijanjikan oleh Allah di penghujung Ramadan.



Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ialah menghidupkan malam dengan solat malam seperti tahajud, hajat, taubat dan juga berzikir kepada Allah. Juga digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga supaya bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah.

Ibu bapa wajar mengajak anak-anak yang sudah dewasa khususnya bersama berqiamullail dan jangan biarkan mereka lena. Bagi memudahkan mereka bangun bersama pastikan mereka dapat tidur lebih awal.

Bagi suami isteri 10 malam terakhir tidak digalakkan untuk bersama kerana Nabi SAW diberitakan bahawa baginda mengemaskan ikat kainnya yakni tidak bersama dengan isteri kerana disibukkan dengan amal ibadah.

Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadan ini iaitu dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadat kepada Allah. Kata Imam Az-Zuhri: Maksudnya: “Suatu yang pelik bagi kaum muslimin mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Nabi SAW tidak pernah meninggalkannya semenjak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga ia meninggal dunia”.


Oleh Zuridan Mohd. Daud
ARKIB UTUSAN: 20/09/2008

- ZURIDAN MOHD. DAUD ialah Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Pahang.

Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Wednesday, August 18, 2010

Sekitar Nisa'GP Ramadhan Tour


Bismillahirrahmanirrahim...
Tag Nama Nisa'GP Ramadhan Tour (Design By : Hasni & Sunnah) 

 Destinasi "Explorace":
  • Stesen Keretapi Kempas Baru
  • KL Sentral
  • Masjid KLCC
  • Menara KLCC
  • Masjid Jamek
  • Pasar Ramadhan Jalan TAR
  • Hotel Putra KL
  • Istana Budaya KL
Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..
Puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah kerana dengan izin dan kehendak-Nya NISA’ GP Ramadhan Tour 2010 telah berjaya dilaksanakan pada 4 dan 5 Ramadhan yang lalu. Bermatlamatkan ukhuwwah Islamiyyah, program 2 hari 2 malam ini telah disertai seramai 22orang ahli NISA’ GP, dibahagikan kepada 4 kumpulan kecil. Seawal jam 11.30 malam peserta-peserta telah berkumpul di stesen keretapi Kempas Baru untuk pembahagian juadah sahur dan barang amanah. Perjalanan kami telah diringi oleh bacaan doa oleh Saudara Syed Hafiz (Suami epada Syifa',salah seorang ahli Nisa' yang turut serta). Tepat jam 12.10 pagi, kami telah memulakan perjalanan.

 Sahur jangan tak sahur...

Di dalam keretapi, setiap ketua kumpulan telah diberi 'Task 1' iaitu Tadarus sebanyak 7 juzuk setiap kumpulan berserta 'Task 2' iaitu perjalanan ke check point seterusnya setelah tiba di KL Sentral. Berserta dengan 'Task 2', setiap kumpulan telah dibekalkan dengan seuncang duit syiling yang berjumlah RM50 untuk kegunaan mereka dalam menaiki kenderaan awam sepanjang perjalanan dari satu checkpoint ke checkpoint seterusnya.

 Tadarus di pagi hari

Alhamdulillah, pada pukul 7.30 pagi, kami telah tiba di KL Sentral dan masing-masing telah bergerak mengikut kumpulan menuju ke checkpoint berikutnya, iaitu Masjid KLCC. Di sana, peserta diberi peluang untuk berehat, membersihkan diri, menunaikan Solat Dhuha, serta mengisi waktu senggang dengan bertadarus. Tepat jam 9.00 pagi, setiap peserta ke checkpoint ke-3, Taman KLCC untuk acara yang dijadualkan dan telah diselenggara oleh Unit Pembangunan Mahasiswa (UPM). Walaubagaimanapun, atas beberapa kekangan, slot tersebut telah diambil alih oleh pihak urusetia. Dalam acara tersebut, kumpulan kecil dibubarkan dan kami bermain acara “kumpulan wang” dimana setiap ahli telah diberi nilai matawang. Apabila pihak urusetia (kak zie) menyebut suatu nilai, setiap ahli harus berusaha membentuk kumpulan dimana jumlah nilaian ahli-ahli nya adalah seperti yang disebut. Kumpulan yang tidak berjaya akan didenda oleh kumpulan yang pertama selesai.



 Denda yang membina

Dalam slot ini juga, kumpulan-kumpulan kecil telah diminta menghasilkan trademark kumpulan mereka. Maka, terhasillah kumpulan bernama  

“Ibtisam”  


 “Srikandi Sumayyah”  


 “New Moon”  


 “JHARI” 


Setelah acara di Taman KLCC tamat, setiap kumpulan telah diberi masa selama 2 jam untuk menyelesaikan Task 3 dan membeli cendehati. Setiap kumpulan harus menuju ke bangunan KLCC untuk mencari 5 unit hadiah. Kategori hadiah yang dibeli adalah berbeza mengikut kumpulan, sama ada berasaskan Kertas, Plastik, Makanan, dan Kaca. Kesemua peserta kemudiannya menuju ke Masjid KLCC untuk rehat, serta menunaikan solat Zuhur dan Asar.

 Meneruskan tugasan

Acara seterusnya telah berlangsung pada pukul 2-3 petang yang mana slot ini telah dikelolakan oleh Unit Pendidikan dan Kerjaya (UPK) . Manik-manik yang dibekalkan oleh UPK diarah untuk diolah menjadi gelang tangan yang insyaAllah akan menjadi produk Nisa’ GP dan dikomersilkan. Dalam slot ini juga, setiap peserta tidak dibenarkan bercakap sesama mereka. Tujuan peraturan ini adalah untuk membantu setiap peserta lebih fokus dan kreatif dalam menyiapkan hasil tangan mereka. Strategi ini kelihatannya berjaya, dimana selain sungguh menarik, banyak produk dapat dihasilkan dalam jangka waktu yang singkat sehinggakan benang yang dibekalkan tidak mencukupi! 

 Kerjasama!
  Sebahagian kreativiti peserta

Setelah selesai slot UPK, Slot UKK (Unit Kebajikan dan Kaunseling) mengambil tempat. Selama hampir setengah jam telah diperuntukkan untuk Ketua UKK memberi taklimat kepada peserta berkenaan aktiviti yang bakal dilangsungkan. Tugasan yang diberi adalah menemuramah beberapa responden berkenaan tema yang khusus.
  • Wanita & Kredibiliti: Penubuhan Sekolah Hamil & ‘Hatch Baby (Pro Dan Kontra)
  • Wanita & Isu Tumpuan : Gangguan Seksual, Zina & Buang Bayi
  • Wanita & Ekonomi : Mengasuh anak di rumah atau Mencari nafkah?
  • Wanita & Tatacara : Gejala Sosial & Penutupan Aurat yang Semakin Diabaikan
Lokasi temuramah adalah di tempat yang sama dengan Task 4, dimana tugasannya adalah MEMBELI MAKANAN untuk berbuka, di Bazar Ramadhan Jalan TAR. Tepat jam 3.30, kesemua kumpulan telah mula bergerak ke Jalan TAR. 

 

 

 Temuramah responden 

Seusai tugasan oleh UKK dan Task 4 di Bazar Ramadhan Jalan TAR, setiap kumpulan harus ke tempat penginapan, berdasarkan klu ‘bangunan yang bersebelahan dengan Hospital Pusrawi di Jalan Tun Razak’. Pada jam 6.00 petang, kesemua kumpulan telah selamat tiba di tempat penginapan, iaitu Hotel Putra KL. Setiap peserta telah berbuka puasa bersama-sama, dengan juadah yang dibeli di Bazar Ramadhan berdasarkan Task 4 yang diberi.
Solat Maghrib, Isya’ dan Terawih telah selamat ditunaikan di Surau Hotel Putra tersebut. Pada jam 9.30 malam, aktiviti seterusnya, iaitu Pidato mengambil tempat. Acara ini diadakan dengan matlamat mencungkil bakat-bakat terpendam peserta selain menyediakan ahli-ahli Nisa’ ke arah melahirkan pendakwah muslimah professional dan kontemporari. Seramai 5 peserta mengambil bahagian, seorang daripada kumpulan New Moon, dua orang daripada kumpulan Ibtisam, seorang daripada kumpulan JHARI, dan seorang daripada kumpulan Ibtisam. 

 

 K.Na (Ibtisam)

 Rasyidah (New Moon)
  
Masdiana (Ibtisam)
Syifa' (Srikandi Sumayyah)

*Tiada dalam gambar, Afzani (JHARI)

Sebelum semua peserta melelapkan mata merehatkan jasad dan minda, Unit Pembangunan Insan (UPI) mengisi ruang dan masa. Acara berbentuk muhasabah kendiri tersebut telah mengajak semua peserta membersihkan hati setelah seharian bersama sahabat-sahabat melaksanakan tugas dan berkongsi rasa. Alhamdulillah, NISA’ GP Ramadhan Tour 2010 telah selamat melabuhkan sebahagian tirainya dengan berakhirnya slot daripada UPI.

 Mesti Peka! Pengetahuan penting!

 Aktiviti keesokannya dimulakan pada jam 8.30 pagi..semua peserta bergerak beramai-ramai menuju ke laman istana budaya untuk 3 aktiviti, iaitu slot UKS (Unit Kebudayaan dan Sukan), Secret Game dan Muhasabah Program. Slot UKS bermula dengan pembahagian semua peserta termasuk urusetia kepada dua kumpulan besar. Setiap kumpulan diberi tugasan untuk menyenaraikan seberapa banyak peribahasa melayu yang diwarisi dalam masa 15 minit. Akhirnya, acara regu mengambil tempat. 

 Khusyuk!

Seusai acara daripada UKS, program diteruskan dengan Secret Game. Dalam masa 15 minit, semua kumpulan (Ibtisam, New Moon, Srikandi Sumayyah, dan JHARI) harus menghasilkan produk origami dan ketupat. Kemudian, kumpulan-kumpulan tersebut harus mempersembahkan produk yang dihasilkan dengan cara yang paling kreatif. Ada yang berbentuk cerita pendek atau drama, mahupun iklan.

  Ade-ade aje..

Kemuncak program, adalah muhasabah dan resolusi. Kelemahan, kekurangan, malah kepuasan hati telah dilontarkan buat semua agar program yang bakal dilaksanakan pada waktu yang lain dapat diperbaiki. insyaAllah. 

 Muhasabah & resolusi

Berakhirnya muhasabah dan resolusi menandakan Nisa’ GP Ramadhan Tour 2010 bakal tiba ke penghujungnya. Setelah check-out daripada penginapan, para peserta bergerak menuju ke KL Sentral. Pada jam 3.10 petang, kami telah bertolak pulang setelah dua kali jadual perjalanan kami di-delay. Alhamdulillah, kami selamat tiba di Stesen Keretapi Kempas Baru pada jam 8.30 malam.


Tadarus  semasa menunggu pulang

Sayonara!


Alhamdulillah, juga jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program permusafiran Nisa’ GP ini. Terima kasih buat sahabat-sahabat Nisa’ GP yang telah mendoakan keberhasilan program ini. Alfu syukran ilaikunna...


Oleh : Ainul Hakimah Binti Karim (Setiusaha Program) 

Dari Admin : "Ya Allah, sesuangguhnya Sirah Rasulullah, BADAR 313, memotivasikan kami bahawa perjuangan tidak pernah mengira penat!"

Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Tuesday, August 10, 2010

Nisa'GP Ramadhan Tour 2010

Assalamualaikum wbt.


"Dengan ini diistiharkan bahawa esok (1 Ramadhan 1431H / 11 Ogos 2010) adalah tarikh berpuasa bagi semua umat Islam di seluruh dunia,"

Alhamdulillah, teman-teman seperjuangan yang dikasihi, sungguh pantas masa berlalu bukan? Diam tak diam sudah masuk bulan Ramadhan. Bulan yang penuh rahmat, bulan yang penuh barakah, bulan pengampunan dan kasih sayang dari Allah Taala. Alhamdulillah...

Oleh itu, bersempena dengan bulan yang mulia ini, Nisa'GP sekali lagi mengatur langkah dengan mengadakan program yang begitu bermakna iaitu Nisa'GP Ramadhan Tour (13-15 Ogos 2010) yang mana program islah dan dakwah ini akan dijayakan antara Johor-Kuala Lumpur.

Permusafiran kami selama dua hari satu malam ini akan bermula di Check Point Pertama iaitu di Stesen Keretapi Kempas dan seterusnya ke Check Point Kedua iaitu di KL Central dan akan diteruskan lagi dengan check point yang masih dirahsiakan lagi (Jeng jeng jeng!).

Pelbagai modul yang menguji minda dan mencabar kreativiti setiap peserta telah disediakan oleh pihak urusetia program kali ini. Dan pastinya, program ini ditunggu-tunggu oleh semua peserta. Bagi peserta yang terlibat, ayuh, persiapkan diri anda. Fizikal, mental dan rohani!


(Ini Kak Zi...) (Credit to Rin's artwork, thanks.....)


Berikut disertakan sekali beberapa peringatan buat semua peserta :

1. Pastikan semua peserta berada di Check Point pertama : Stesen Keretapi Kempas, pada jam 11.00mlm (13 Ogos 2010).

2. Kenderaan untuk ke Check Point Pertama boleh dirujuk kepada saudari setiausaha Nisa'GP.

3. MINIMUMKAN barangan yang hendak dibawa. Beg galas diutamakan.

4. Bawa bersama ubat-ubatan jika perlu (Mengikut kumpulan)

5. Pakaian yang mencukupi dan kasut yang bersesuaian. (Sesuai untuk permusafiran, menutup aurat dan sopan). Warna tema : Ungu bagi kedua-dua hari.

Insyaallah, mudah-mudahan program yang bakal berjalan ini mendapat bantuan dan perlindungan daripada Allah Taala. Sama-sama kita doakan! (^^,)



Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~