Tuesday, June 29, 2010

Layar Internet, Waktu Kosong & Kerja Share

Persoalan saya sekarang ialah tentang status gaji dan pekerjaan saya. Saya ingin bertanya pandangan Ustaz tentang masalah saya ini. Adakah berkat pekerjaan saya sekarang ini. Saya bukan sengaja menghabiskan waktu kerja saya dgn bersenang lenang melihat Internet dan sebagainya. Tetapi saya memang tiada langsung kerja pada waktu itu.Untuk pengetahuan, saya lihat rata rata rakan sekerja saya juga berkeadaan sama seperti saya. Bila tiada kerja maka masa pejabat akan dihabiskan dengan surfing, emel, berbual dan sebagainya.


Soalan

Saya merupakan seorang eksekutif di sebuah syarikat yang agak besar. Saya terlibat didalam bidang "development" produk. Masalah yang saya hadapi ialah jika tiada produk baru yang dikeluarkan maka kerja saya pun akan berkurangan sehingga kadangkala boleh dikatakan sampai tiada kerja langsung.Waktu tiada kerja ini kadang kadang mencecah berminggu-minggu.

Saya tidak nafikan, bila ada produk baru yang akan dikeluarkan, maka saya akan mulai sibuk dalam tempoh development produk tersebut. tetapi apabila produk ini sudah masuk ke tahap "Mass Production" atau pengeluaran, maka saya tidak lagi bertanggugjawab.

Jadi di waktu tersebut bila sudah tiada kerja, maka saya akan habiskan waktu pejabat dgn Surf internet, berEmel atau sesekali keluar dari tempat kerja untuk ke bank dan sebagainya.

Persoalan saya sekarang ialah tentang status gaji dan pekerjaan saya. Saya ingin bertanya pandangan Ustaz tentang masalah saya ini. Adakah berkat pekerjaan saya sekarang ini. Saya bukan sengaja menghabiskan waktu kerja saya dgn bersenang lenang melihat Internet dan sebagainya. Tetapi saya memang tiada langsung kerja pada waktu itu.Untuk pengetahuan, saya lihat rata rata rakan sekerja saya juga berkeadaan sama seperti saya.Bila tiada kerja maka masa pejabat akan dihabiskan dengan surfing, emel, berbual dan sebagainya.

Apa pandangan ustaz tentang masalah ini. Dan saya juga ingin meminta pendapat ustaz tentang apa yang boleh saya lakukan di waktu saya tiada kerja.

Diharap ustaz faham masalah yang saya utarakan ini dan saya amat berharap agar ustaz dapat memberikan jawapan kepada saya agar dapat menjadi panduan buat saya dan semoga kerja saya diberkati olah Allah.


JAWAPAN

Alhamdulillah, apabila muncul perasaan risau dan mengambil berat akan pendapatan kita, itu adalah satu tanda yang baik terhadap iman di dalam diri.

Nabi telah memberi jaminan kebaikan buat mereka yang menjauhi syubhat dengan katanya juga:-
فمن اتقى الشبهات استبرأ لدينه وعرضه ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام

Ertinya : Barangsiapa yang menjauhi syubhat, telah selamatlah agamanya dan kehormatannya, barangsiapa yang menyertai syubhat, ia seolah telah jatuh dalam yang haram" ( Riwayat Muslim, no 1599, 3/1219)

Berdasarkan pertimbangan hukum, kedudukan gaji seseorang pekerja menjadi tanggungan ke atas majikan melalui kontrak kerja (‘Aqd al-‘Amal). Kita dapat melihat contoh aqad ini dari kisah Nabi Musa dan
Nabi Syuaib a.s.

قَالَ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُنكِحَكَ إِحْدَى ابْنَتَيَّ هَاتَيْنِ عَلَى أَن تَأْجُرَنِي ثَمَانِيَ حِجَجٍ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًا فَمِنْ عِندِكَ وَمَا أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ مِنَ الصَّالِحِينَ

Ertinya : Berkatalah dia (Syuaib): ""Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang dari kedua anakku ini, atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) dari kamu, maka aku tidak hendak memberati kamu. Dan kamu insya Allah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang baik ( Al-Qasas : 27)

Dari ayat di atas, jelas Nabi Syuaib menawarkan kontrak kerja selama lapan tahun kepada Nabi Musa.

Dalam konteks kerjaya di zaman ini, perincian kontrak khususnya berkaitan tugasan dan tanggungjawab akan diberikan. Justeru, kerjaya seseorang melayakkannya kepada gaji tentunya berbeza mengikut jenis dan karakter kerjaya terbabit. Jenis dan karakter tugasan itulah yang perlu dirujuk untuk melihat sama ada gaji yang diterima boleh berubah menjadi syubhat dan haram.

Secara ringkas dan sekadar memberikan contoh, ia seperti berikut :-

1- Kerja yang dibayar berdasarkan jam kerja. Contohnya kerja part time di kilang pembuatan, guru separuh masa dan sebagainya.

Ulasan : Bentuk kerjaya sebegini tidak dinafikan memerlukan pekerja untuk kekal bekerja sepanjang jam yang akan diberi gaji. Jika tugas telah disiapkan sebelum jamnya tamat, pekerja sewajarnya terus menyempurnakan kerja yang telah siap itu atau terus bekerja iaitu dengan melakukan apa sahaja yang boleh meningkatkan prestasi kerja yang telah dan akan dilakukan kemudian hari. Ini bermakna, culas dalam menggunakan setiap minit dan jam yang diberikan gaji boleh membawa kepada gaji syubhah.

2- Kerja dibayar berdasar tugasan specifik. Sesuatu tugasan itu pula berkemungkinan boleh disiapkan lebih awal atau melebihi waktu biasa kerja.

Ulasan : Antara kerja sebegini konsultan, penterjemah dan sebahagian Pensyarah di Universiti. Yang mana mereka dikehendaki menyiapkan tugasan specific dalam satu tempoh yang diberi. Pensyarah contohnya dikehendaki mengajar dalam jam tertentu manakala baki waktu adalah untuk melakukan kajian dan mendalami ilmu berkaitan dengan bidangnya, bagi menambah kepakaran dirinya. Bagi konsultan, menyiapkan tugasan specific ini mungkin tidak dihadkan oleh sesuatu jam tertentu. Tidak kira berapa lama jam diperlukan untuk menyiapkannya, pembayarannya telah ditetapkan lebih awal. Tatakala itu, sekiranya konsultan dan pensyarah ini melayai internet sekali sekala bagi mebuat kajian, menenangkan fikiran dan apa jua yang tidak bercanggah sama sekali dengan sifat kerjanya. Menurut pendapat saya, gajinya tetap kekal sebgai halal dan harus.

Bagi penterjemah dan sepertinya. Apabila habis terjemahan yang dibuat, tiadalah gaji diberikan untuk waktu-waktu lain. Gaji berdasarkan projek dan tugasan tertentu sahaja. Melayari internet dan berehat dan seumpamanya bagi petugas dalam bidang ini juga tiada masalah, kerana gajinya dibayar bukan berdasar masa tetapi tugasan yang diberikan. Jika kerja dapat disiapkan segera, tentunya dia bakal perolehi pendapatn yang juga segera. Jika dia banyak menghabiskan masanya untuk layari interent, lambat pulalah gaji dapat dinikmati.

3- Kerja yang diikat dengan tempoh waktu khas setiap hari, sama ada terdapat kerja atau tidak, pekerja mesti sentiasa ada di pejabat sepanjang tempoh terbabit.

Ulasan : Contoh tugasan sebegini adalah pekerja rasmi di pejabat kerajaan, swasta sama ada bersifat pentadbiran utama, sokongan atau pengurusan utama.

Semua jenis kerjaya ini biasanya mempunyai waktu bekerja setiap hari iaitu 9 pagi hingga 5.30 petang. Namun tugasan yang perlu dilakukan, sebahagiannya boleh melebihi jam 5.30 petang untuk disiapkan, khususnya bagi jawatan pengurusan tertinggi, tetapi gaji mereka tidak bertambah kepada lebih masa tadi, ia hanya berubah berdasarkan penilaian lain.

Bagi tugasan sebegini, adakalanya kerja tiada dalam waktu kerja harian mereka, membawa mereka kepada menghabiskan masa, sekadar duduk, melayari internet dan sebagainya. Bagi saya gaji mereka tetap halal disebabkan komitmen mereka yang tetap terus berada di kerusi mereka menanti kerja-kerja yang akan tiba pada bila-bila masa. Hasilnya, rehat mereka, internet mereka adalah HARUS selagi mana ia tidak memberikan sebarang kesan kepada prestasi kerja mereka, tidak menyebabkan kos luar biasa kepada syarikat dan TIDAK DITEGAH oleh syarikat dalam pekeliling umum kepada seluruh kakitangan.
Namun begitu, yang terbaik, waktu kosong tadi dimanfaatkan untuk apa jua aktiviti yang boleh meningkatkan tahap efisyen diri. Namun tidak dinafikan, rehat adakalanya memang diperlukan bagi menghasilkan kerja yang lebih baik. Tanpa rehat mencukupi, sesuatu tugasan khususnya yang memerlukan kerahan idea dan minda sukar disiapkan.

KESIMPULAN

Justeru, melihat kepada soalan tadi, tidak boleh dinafikan sama sekali, sebahagian tugasan boleh disiapkan lebih awal dan sementara menunggu tugasan baru, tiada kerja specifik yang diperolehi, ketika itu pada hemat saya kes saudara tergolong dalam kategori ketiga ini. Tanggungjawab saudara di ketika tiada kerja adalah perlu sentiasa ada di tempat kerja, bagi memastikan kiranya terdapat kerja, ia boleh segera disampaikan. Dengan itu, anda sudah dikira melaksanakan tugasan. Namun sebaiknya, sebagaimana disebutkan di atas, masa tersebut dimanfaatkan untuk meningkatkan kepakaran diri agar boleh dimanfaatkan oleh majikan dan umat seluruhnya. Termasuklah di dalam hal tersebut, menggunakan waktu kosong untuk meningkatkan ilmu Islam dan ketaqwaan kepada Allah.

Tiada sebarang unsur haram berlaku walau banyak masa di habiskan dengan rehat dan melayari internet asalkan sahaja ia semuanya tidak menganggu tugasan utama dan sampingan yang dipertanggungjawabkan. Manusia bukanlah robot yang mampu untuk setiap inci dan saat bekerja. Justeru, rehat mereka dalam tempoh yang berpada pada hemat saya masih tergolong dalam takrif ‘KERJA’ kerana kerja yang baik dan berkualiti adakalanya memerlukan tubuh dan minda yang fresh atau segar. Dalam konteks itu, rehat amat diperlukan tetapi jangan terlebih rehat sehingga termasuk di dalam bab ‘curi tulang’ dan tidak efisyen di dalam pelaksanaan tugasan. Wallahu’alam

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
29 Jun 2010
Brunei Darus Salam

Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Tuesday, June 8, 2010

Hak Asasi Manusia

Peguam Syarie Menulis

Berita Harian 17 Jun 2009

Hak asasi manusia adalah berdasarkan kepada perisytiharan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) pada 10 Disember 1948, yang dikenali sebagai Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Periystiharan ini telah membahagikan hak asasi manusia kepada empat kebebasan utama iaitu kebebasan daripada ketakutan, kebebasan daripada kemahuan, kebebasan bersuara dan kebebasan kepercayaan. Ia menyenaraikan pelbagai hak asasi manusia, daripada hak sivil dan politik sehinggalah hak ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Hak kemanusiaan yang dinyatakan dalam UDHR itu adalah merujuk kepada hak yang dimiliki oleh semua insan, berdasarkan prinsip bahasa semua insan memiliki satu bentuk hak yang sama, sebagaimana mereka memiliki indentiti insan, yang tidak dipengarahui oleh faktor tempatan, perkauman dan kewarganegaraan.

Pada hakikatnya, hak kemanusiaan itu juga tertakluk kepada hak dari segi perundangan dan hak dari segi moral. Hak kemanusiaan dari segi undang-undang ialah satu bentuk hak yang dinikmati oleh seorang warganegara sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang negara tersebut. Pencabulan hak kemanusiaan yang berkenaan, akan membawa kepada tindakan undang-undang yang sewajarnya, dan ia berbeza dari satu negara ke satu negara yang lain.

Sebagai contoh, walaupun Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan kepada warganegara Malaysia, tetapi ia masih dalam batas-batas tertentu dan tertakluk kepada undang-undang tertentu. Ini kerana Perkara 10 (2) memberikan kuasa kepada Parlimen untuk meluluskan undang-undang yang menyekat kebebasan tersebut dalam batas-batas tertentu.

Perkara 10 (2) Perlembagaan memperuntukkan – ”Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan - (a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan ;”

Selanjutnya Perkara 10 (4) Perlembagaan memperuntukkan – ”Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.”

Oleh sebab itu wujudnya Akta-akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Pendaftaran Pertubuhan dan lain-lain.

Manakala hak kemanusiaan dari segi moral merupakan satu tanggapan moral yang didukung oleh anggota masyarakat. Anggota masyarakat perlu mengakui akan wujudnya hak tertentu yang harus dinikmati oleh individu lain, yang dianggap sebagai “sebahagian daripada sifatnya sebagai manusia”, walaupun ia mungkin tidak termaktub dalam undang-undang. Maka anggota-anggota masyarakat berkenaan perlu cuba mengelakkan diri daripada mencabuli hak masing-masing dengan penuh perasaan moral.

Adalah tidak bermoral dalam negara berbilang kaum dan agama di negara ini, apabila sesuatu kaum mempertikaikan hak sesuatu kaum dan anutan agama kaum yang lain. Adalah tidak bermoral apabila segelintir kaum bukan Islam mempertikaikan fatwa pengharaman penkid suatu masa dahulu, sedangkan orang Islam tidak pernah mempertikaikan tindakan kaum-kaum lain seperti membina tempat bersembahyang sesuka hati tanpa permit dan lesen sah, hatta di bawah pokok dan di tepi-tepi jalan.

Kebebasan menurut kacamata Islam

Terdapat ayat-ayat al-Quran yang memperuntukkan hak-hak manusia yang perlu dihormati. Antara hak-hak tersebut adalah hak untuk hidup, hak untuk mengumpul dan memiliki harta, hak untuk bersendirian tanpa gangguan, hak untuk bergerak, hak ke atas anak-anak, hak untuk keadilan, hak ke atas maruah dan penghormatan seseorang, hak persamaan di bawah undang-undang dan sebagainya.

Hak bersuara boleh dimanifestasikan dalam beberapa keadaan. Pertama hak untuk memberi nasihat kepada orang yang melakukan kesalahan (an-Nasihah). Kedua, hak untuk berunding dan bermesyuarat (as-Syura). Ketiga hak untuk membuat `ijtihad. Keempat hak untuk mengkritik orang lain (Hurriyyat al Mu’aradah). Kelima kebebasan pendapat (Hurriyyat al-Ra’y) dan keenam kebebasan untuk berpersatuan dan ketujuh kebebasan beragama (al-Hurriyyah al-Diniyyah). Kesemua hak ini adalah bersandarkan kepada nas-nas al-Quran yang `sarih’ (nyata).

Islam memerintahkan umatnya supaya melaksanakan pendekatan dakwah secara berhikmah dan penuh dengan nasihat. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.”


Hak kebebasan yang dituntut oleh sebilangan wanita Muslim, hak kebebasan akhbar, hak kebebasan bersuara, hak kebebasan beragama dan tuntutan kebebasan lain perlu dilihat daripada sudut neraca Islam, supaya tidak terkeliru dengan kebebasan yang ditaja oleh barat. Barat sedang menjana pemikiran bahawa setiap individu boleh melakukan apa saja menurut kehendak hati dan nafsu biarpun ia bercanggah dengan kehendak agama dan bertentangan nilai kemanusiaan yang luhur.


Islam daripada awal lagi sudah menjamin kebebasan selaras dengan fitrah kejadian manusia. Bahkan, Islam tidak membenarkan unsur paksaan wujud dalam ajarannya yang suci. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud : “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”


Namun, ini tidak bermakna seorang Muslim bebas bertukar agama tanpa sebarang had. Kalimah syahadah adalah sebagai satu ikrar atau perjanjian yang termeteri antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ikrar dan perjanjian itu wajib dikota, dan sesiapa yang murtad bererti dia sudah melanggar perjanjian itu. Wajarlah Allah mengenakan hukuman keras terhadapnya.

Yang dimaksudkan dengan kebebasan bersuara dalam Islam ialah kebebasan menyatakan pendapat, buah fikiran, teguran dan kritikan membina kepada pihak bertanggungjawab. Termasuk juga kebebasan akhbar dan internet yang menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat umum, bukan melaporkan berita yang tidak benar, cerita-cerita yang tidak berfaedah, atau mempamerkan gambar-gambar yang kurang sopan. Firman Allah dalam surah An-Nur ayat 19 yang bermaksud : - “sesungguhnya orang yang suka menghebohkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman,mereka akan beroleh azab yang amat pedih didunia dan diakhirat,dan allah mengetahui (segala perkara) sedangkan kamu tidak mengetahui”.


Islam memerintahkan umatnya supaya menyatakan kebenaran Islam sebagaimana dapat difahami daripada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesiapa ada melihat kemungkaran di hadapan kamu maka hendaklah kamu mengubah dan mencegahnya dengan tangan kamu (dengan kuasa yang ada pada kamu), jika kamu tidak mampu (dengan tangan kamu) maka hendaklah kamu ubah dengan lidah. Jika kamu masih lagi tidak mampu, maka hendaklah kamu ubah dengan hati. Itu adalah selemah iman.” (Hadis riwayat Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah)


Pidato perdana Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebaik saja beliau diangkat sebagai khalifah pertama dalam Islam, memberi hak kepada rakyat jelata untuk bersuara memberikan pandangan dan kritikan kepada kepemimpinan beliau : “Wahai manusia! Aku telah dipilih untuk memimpin kamu padahal aku bukanlah orang yang paling baik daripada kalangan kamu. Jika aku melakukan perkara yang betul maka hendaklah kamu semua membantuku dan jika aku melakukan penyelewengan maka hendaklah kamu memperbetulkan aku.”

Islam juga menegaskan bahawa setiap Muslim berkewajipan mempertahankan maruah dan hak masing-masing. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :- “Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan maruahnya adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya adalah syahid dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya adalah syahid.” (Hadis riwayat Abu Daud, Nasa’i dan Tirmizi)


Ulama terkenal Syeikh al-Mutawalli al-Sya’rawi menegaskan, kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud pada setiap insan. Malah, kebebasan itu sebenarnya bersifat relatif iaitu dengan maksud ia tidak mengganggu kebebasan orang lain dan tidak bercanggah dengan ajaran agama. Dan jika ada unsur gangguan dan percanggahan dengan agama, masyarakat ramai akan bertindak mencegah perbuatan yang melampaui batas itu.


Kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud dalam masyarakat madani kerana masyarakat bertamaddun ialah masyarakat yang dikawal oleh sistem, peraturan dan undang-undang. Golongan yang menjadikan hawa nafsu sebagai panduan bukanlah masyarakat yang bebas, sebaliknya adalah masyarakat yang sesat.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http: ///www.peguamsyarie.org.


Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~