Laporan oleh : Cik Husna (UPI)
Alhamdulillah, setelah merancang beberapa pengisian program, kali ini pada 10 Jun 2009, Rabu, Team Nisa’ telah bergerak ke Pasti Ar-Rahman 2 di Kampung Ladang, Gelang Patah bagi meneruskan misi program “Adikku Sayang”. Team Nisa’ kali ini yang terdiri dari Che'an, Sutinah, Mila, Ayet, Ita, Kak na, 'Uyun, Mutiah dan Husna telah diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk bersama-sama menjayakan program ini. Kami telah bertolak dari Pasti Siswa 3, Taman Pulai Utama kira-kira jam 6.30 petang.
Kira-kira jam 7.20 malam, kami selamat sampai di sana, sejuk mata kami, tenang hati kami melihat adik-adik menanti kami, yang kami rasakan dan yakin mereka lah harapan permata Islam di masa hadapan, insyaallah. Program “Adikku Sayang” dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah dan bacaan serta hafazan surah-surah lazim. Mereka telah dibahagikan kepada empat kumpulan kecil, maka kami berada bersama kumpulan-kumpulan mereka, mendengar, memperbetulkan dan mengajar bacaan mereka. Sungguh bersemangat adik-adik ini membaca dan menghafal, ada yang masih tergagap-gagap mengeja huruf Al-Quran, ada yang lancar membaca dan menghafaz, ada yang pejam-pejam mata semata-mata untuk menghafal, ada pula yang berlagu membaca surah-surah lazim ini, pelbagai gaya dan taktik adik-adik ini lakukan, tetapi mereka tetap terus berusaha dan berusaha, akhirnya kesemuanya berjaya mencapai tahap penguasaan diri masing-masing. Sungguh, hati mereka masih suci dan bersih dalam melafazkan dan menghafaz kalimah Allah SWT ini. Masyaallah.
Selepas menunaikan Solat Isya’ secara berjemaah, program “Adikku Sayang” diteruskan dengan perkongsian motivasi mengenai “Kewajipan Menunaikan Solat Dalam Kehidupan”. Sesi motivasi ini berjalan dalam keadaan dua hala, adik-adik juga diberi peluang untuk berkongsi dan bertanya mengenai perbincangan bersama kakak-kakak Nisa’ (Mila, Ayet dan 'Uyun selaku panel).
Tekun sekali adik-adik ini mendengar celoteh dari kakak-kakak Nisa’, “Jangan tinggal solat adik-adik, nanti kita berdosa”. Adik-adik juga telah menghayati kisah-kisah yang kakak-kakak bawakan. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ :103
“Sesungguhnya Solat itu adalah suatu ketetapan yang diwajibkan dan ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman”
Jelas Allah SWT menunjukkan kewajipan menunaikan solat ke atas orang Islam yakni orang-orang yang beriman kepada Allah SWT. Solat ibarat tiang dalam suatu kehidupan, ia akan mempengaruhi seluruh aspek kehidupan kita. Jika baik dan sempurna solat kita, insyaallah, Allah akan permudahkan urusan kita dan memberi kita yang terbaik. Jika tunggang langgang solat kita, maka itulah ibaratnya kehidupan kita seharian. Ketika menunaikan solat, hati, jiwa dan raga sepenuhnya diserahkan kepada Allah SWT. Segala pengharapan dan doa juga dipohon kepada Allah SWT terutama sekali ketika solat. Solat itu adalah kewajipan, maka azab Allah menanti bagi mereka yang meninggalkan solat lima waktu sehari semalam. Ayuh adik-adik dan sahabat-sahabat semua, kita perbaiki kualiti solat kita, tingkatkan khusyuk dalam solat, penuhi solat lima waktu sehari semalam. Tunaikan lah solat sesempurna mungkin, kerana mungkin itulah solat terakhir kita. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Slot Muhasabah telah diteruskan setelah adik-adik diberi minum malam. Team Psiko drama disertai oleh Che'an, Husna, Kak Na dan Mutiah. “Adik-adik, siapa yang lahirkan kita ke dunia ini, siapa yang menjaga kita dikala kita sakit, dikala kita menangis siapa yang memujuk kita, siapa yang bertungkus lumus mencari rezeki untuk adik-adik”, inilah antara dialog-dialog Team Nisa’ kepada adik-adik pada malam tersebut. Hati-hati adik-adik ini masih lembut, masih mudah tersentuh, masih mudah dilentur, adik-adik dikau harapan ayah dan ibu, jangan kecewakan mereka wahai adik-adik yang kami kasihi.
Ibu dan Ayah insan yang melahirkan kita ke dunia ini, menjaga, membesarkan, menyayangi dan segala yang terbaik untuk kita, itulah harapan dua insan yang bergelar ibu dan ayah ini. Sungguh besar pengorbanan mereka, sama-samalah kita setiap masa mendoakan mereka.
“Bismillahirrahmanirrahim. Allahummaghfirlana zunubana waliwalidaina warhamhuma kama rabbayana soghira. Ameen”
Mereka semakin hari semakin tua, jangan sampai ketika saat itu tiba, saat malaikat Izrail datang menjemput mereka, kita menyesal di atas perbuatan kita kepada mereka. Nauzubillah. “ Ibu Ayah ampukan anakmu ini”
Setelah itu ibadah sunyi pun dijalankan. Kelihatan kesemua adik-adik, team Nisa’ dan juga guru-guru Pasti kepenatan dan keletihan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Muzzammil : 6
“Sesungguhnya jiwa (org) yang terbentuk di tengah malam itu lebih mantap keperibadiannya dan lebih jitu kata-katanya”
Qiammullail diteruskan pada awal pagi itu. Kawal selia oleh guru-guru Pasti, Ita, Ayet dan Sutinah. Kelihatan adik-adik beratur sambil memejam mata untuk mengambil air sembahyang. Masih mengantuk mungkin, kerana telah dikejut terlalu awal dari kebiasaannya bagi meneruskan Qiamullail pada awal pagi itu. Inilah suasana dan pendidikan yang perlu diterapkan di dalam jiwa suci dan bersih mereka. Suasana bangun di awal pagi bagi menunaikan solat-solat sunat serta ibadah lain sebelum menjelangnya waktu solat Subuh. Selepas menunaikan solat Subuh secara berjemaah, aktiviti riadhah pula diteruskan. Team Nisa’ telah bertolak pulang ke Skudai pagi itu berikutan tanggungjawab masing-masing yang perlu diteruskan sekitar jam 8 pagi. Program “Adikku Sayang” telah diteruskan oleh guru-guru Pasti dengan Majlis Penutupan dan penyampaian hadiah. Maka berakhirlah program “Adikku Sayang” ini. Adik-adik telah pulang dengan suatu harapan baru, impian baru untuk semakin menjadi anak yang solehah dan pelajar yang cemerlang. Insyaallah.
Adik-adik kami yang sayangi, teruskan perjalanan hidup kalian, banyak lagi yang menanti kalian di hadapan. Tetapkan pendirian kalian dengan Islam. Sayangi ibu bapa dan keluarga serta buktikan adik-adik semua boleh menjadi yang lebih baik dari sekarang. Moga kita semua berjumpa lagi dalam program-program akan datang. Moga apa yang sedikit dari kami ini, dapat adik-adik jadikan panduan hidup kelak.
Kepada semua Team Nisa’ yang menjayakan program “Adikku Sayang” ini, tahniah dan terima kasih diucapkan. Walau dalam keadaan masing-masing bekerja, masih sempat meluangkan masa bersama bagi meneruskan misi dakwah dan pendidikan kita. Moga semua itu akan menjadi saksi dan nilaian di sisiNYA. Insyaallah. “Janji Allah Itu Pasti”!!.
********************************************
Rezeki yang datang jangan ditolak...sempat para fasi dijamu durian. Alhamdulillah.
Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~