Tuesday, May 26, 2009

Wanita dan kerjaya

Penglibatan dan peranan wanita dalam membangunkan masyarakat dan negara adalah penting berasaskan kepada tugas dan tanggungjawab malah merupakan satu usaha positif untuk mencapai tahap lebih tinggi berdasarkan kepada konsep pembangunan bersepadu iaitu dari aspek fizikal dan mental setanding dengan kaum lelaki.

Islam tidak menghalang wanita untuk melakukan pekerjaan di luar rumah sekiranya ia merupakan keperluan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Malahan Islam menganggap pekerjaan yang dilakukan oleh wanita atau lelaki merupakan suatu ibadah selagi dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tidak terkeluar dari landasan dan peraturan Islam.

Sebagai contoh, wanita-wanita pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. turut sama membantu keluarga mereka seperti menggembala, bertani, berniaga dan sebagainya. Contohnya Asma´ binti Abu Bakar yang bekerja sebagai petani dan membantu suaminya mengangkut hasil buah tamar dari ladang ke pasar yang jauhnya kira-kira 1.4 km.

Adalah menjadi kebiasaan bagi wanita bekerja membantu keluarga dan penglibatan mereka tidak menimbulkan masalah kerana dalam budaya masyarakat Malaysia tugas-tugas di luar rumah sudah menjadi perkara biasa dan sangat diharapkan bagi membantu menambahkan pendapatan keluarga yang nyata memerlukan sumber kewangan lebih.

Secara lazimnya, seseorang wanita yang telah berumah tangga akan bertanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir keluarga serta melaksanakan tugas sebagai seorang isteri atau ibu. Maka perbelanjaan rumah yang diberikan mesti digunakan sebaik mungkin dan pelajaran anak-anak juga merupakan keutamaan bagi seorang wanita.

Bagi wanita yang berkerjaya, tanggungjawab mereka juga semakin bertambah kerana wanita yang berkerjaya perlu melaksanakan tanggunjawab sebagai pekerja dan memastikan segala tugasan dilakukan dengan sempurna maka secara tidak langsung wanita bukan sahaja memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu, malahan sebagai pekerja.

Faktor pertama yang menyebabkan wanita bekerja ialah pendidikan yang mereka miliki dan keiinginan untuk mahu menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang ada secara total.

Tidak dapat disangkal lagi wanita yang bekerja dapat mengimplementasikan pengetahuan dan kemahiran yang ada pada mereka dan dalam masa yang sama mereka mampu memperoleh pendapatan sendiri sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Perubahan sosial dan keperluan ekonomi yang tinggi juga merupakan antara faktor wanita keluar bekerja kerana tuntutan ini memerlukan mereka membantu suami untuk membentuk keluarga yang bahagia dan selesa serta meringankan beban suami.

Walau apa sekalipun faktor yang menjuruskan wanita, isteri dan ibu keluar bekerja, tanggungjawab dan pembahagian masa antara keluarga dan kerjaya perlulah seiringan agar tidak mengabaikan mana-mana pihak.


Wanita yang bekerja perlu memastikan keperluan rumahtangga dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu perlu dilaksanakan sebaik mungkin walaupun mereka terpaksa bekerja pada siang harinya dan ketika di pejabat mereka juga perlu memberikan komitmen yang penuh untuk melunaskan tugas yang diberikan kepada mereka.

Wanita perlu menghargai kepercayaan yang diberikan oleh suami kepada mereka dan perlu menjaga nama baik suami dan keluarga ketika berada diluar dan pihak suami sewajarnya memberi perhatian dan panduan serta bimbingan sekiranya isteri mereka memerlukan pendapat dan tempat untuk meluahkan masalah kerana sifat tolak ansur dan tolong-menolong ini mampu melahirkan keluarga yang aman bahagia.
Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Monday, May 25, 2009

Sambutan Hari Guru PASTI kawasan Gelang Patah

Disediakan oleh : Cik Aina -Laporan dari Biro Sukan NISA’GP

Alhamdulillah, pada Sabtu yang lepas (16 Mei 2009), bertempat di Stadium Mutiara Rini telah diadakan Sambutan Hari Guru beserta Sukan PASTI. Aksi-aksi pemain cilik dari pelbagai PASTI dari kawasan Gelang Patah amat mencuit hati… Sangat comel dengan tiang gol dan jaring netball yang disifatkan saya sebagai comel (tak sia-sia siapa yang buat tiang gol tu-kredit buat Pemuda Kawasan). Seronok bila melihat adik-adik PASTI ni bermain, apatah lagi melihat AJK-AJK program yang terdiri dari Pemuda, Unit Amal, dan NISA’ yang bertungkus lumus untuk menjayakan program ini. Semoga pengorbanan kalian diganjari oleh Allah di akhirat kelak. InsyaAllah.


Penglibatan NISA’ sedari awal membuatkan ianya boleh dikatakan di handle oleh NISA’ yang diketuai oleh Pn. Rozita Abdul aka Kak Zie. Beliau yang dibantu oleh Kak An, dan Husna telah membawa group NISA’nya bersama dalam menyediakan hadiah-hadiah untuk peserta cilik yang bakal menang.

NISA’ GP juga telah mengambil tender untuk membuat breakfast pada pagi hari kejadian. Seawal jam 1 pagi, ahli-ahli NISA’ dibantu oleh guru-guru PASTI SISWA 2 telah menyediakan juadah nasi lemak tersebut (sedap,..rugi siapa yang tak dapat merasa).. Macam-macam gaya dipamerkan semasa membuat kerja-kerja memasak ni (kredit untuk PASTI SISWA 2 kerana sudi menyediakan ruang untuk kami , NISA’ bermalam di sana). Di samping memasak, sebahagian ahli NISA’ ditugaskan untuk menyampul hadiah-hadiah buat para pemenang nanti dan selebihnya melakukan ibadah sunyi.

Seawal jam 8 pagi, kaunter pendaftaran untuk peserta-peserta sukaneka PASTI telah dibuka dengan barisan penjaga kaunter yang penuh dedikasi (Kak Mila, Jun, Kak An dan Husna) dan selebihnya bertebaran di stadium Mutiara Rini untuk meneruskan tugas-tugas yang diamanahkan.

Dengan cuaca yang agak panas pagi tu, alhamdulillah,kerja-kerja mengadili pertandingan telah dilakukan dengan jayanya yang diketuai oleh En. Sya’rani untuk bola sepak dan Kak Na sebagai ketua untuk group pengadil bola jaring. Buat goup pengadil, lepas ni pakai whitening cream banyak-banyak yer. Huhu…Sebenarnya, lagi seronok rasanya jika dibuat pada waktu malam dengan sportlight yang begitu terang kat stadium tu dan cuaca malam yang bakal menggigit tulang (just imagination, banyak pro dan kontra hehe..).

Di pertengahan program, Kak Zie pun menunjukkan bakatnya sebagai pengacara majlis, bergandingan dengan MC utama akh Ridwantoyang ditemani zaujahnya dan si comel Maisarah. Pelbagai aksi dan gelagat telah dipamerkan peserta dan ibu bapa peserta semasa program dijalankan. Ramai peserta telah membawa pulang hadiah sebagai tanda penyertaan mereka dalam sukan PASTI tersebut. Yang pastinya, mereka berasa gembira dengan program ini (sempat menemuramah adik Sakinah dan adik Hidayah dari PASTI SISWA 3 yang begitu gembira dengan hadiah yang berjaya dimenanginya). Si comel Zafira, puteri kepada Kak Zie, telah juga berjaya membawa pulang hadiah-hadiah yang dimenangi .


Tahniah juga buat peserta-peserta bola sepak dan bola jaring PASTI. Dengan training yang berkesan dari guru-guru PASTI sendiri, AlhamduliLlah kalian berjaya menyudahkan permainan dengan ‘comel’nya. Tapi, nak wat camne, PASTI SISWA 2 yang telah berjaya menjuarai pertandingan bola jaring dan bola sepak juga, dan mereka bakal mewakili kawasan Gelang Patah ke peringkat yang seterusnya.


Pada akhir program, pertandingan untuk guru-guru PASTI juga telah diadakan setelah gimik untuk guru-guru PASTI dilakukan. Banyak mehnah dan tribulasi semasa menjayakan gimik ni tau, dengan belon yang terbang pada saat-saat akhir dan kesukaran untuk mengisi belon tersebut dari tong helium huhu.. Tetapi, alhamduliLlah, berjaya disiapkan juga dengan kerjasama dari sahabat-sahabat dan pastinya dengan bantuan Allah (apa yang penting..kerjasama). Dan program ini ditutup dengan acara meniup belon sehingga pecah oleh murid-murid PASTI pelbagai peringkat umur.

Banyak pengajaran juga boleh diambil dari program ni antaranya:
· Pentingnya kerjasama dari setiap individu dalam merealisasikan sesebuah program
· Kanak-kanak umpama kain putih yang mana perlu dicorakkan sebaiknya
· Kesungguhan dan kemahuan penting dalam melakukan sesuatu perkara
InsyaAllah, post mortemnya akan diadakan pada hari Ahad iniJ. Di kesempatan ini juga, ingin memohon maaf sekiranya ada tersalah dan tersilap sepanjang program.


Buat AJK-AJK dan sahabat-sahabat yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini, kredit untuk kalian. Tahniah diucapkan. “Berpenat lelahlah kerana sesungguhnya kesenangan itu selepas kepayahan. Usahlah berdukacita kerana hidup ini meletihkan, kerana demikianlah hidup itu diciptakan…” (Imam Syafie)

“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ad kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh (urusan) yang lain” (Surah 94: 5-7)


Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Pengenalan Biro Sukan

Pengenalan

Kekuatan jasadiah menjadi asset yang penting ke arah mengoptimumkan tenaga demi keberlangsungan gerak kerja Islam. Biro Sukan NISA’ Gelang Patah telah diwujudkan sebagai pelengkap kepada organisasi NISA’ Gelang Patah yang bukan sahaja cakna terhadap isu semasa masyarakat tetapi juga menjadikan sukan dan kebudayaan sebagai satu wahana dakwah kepada masyarakat. Muslimat sebagai sayap kiri dalam perjuangan membuktikan muslimat mampu untuk menyumbang tenaga, proaktif setanding dengan muslimin. Oleh itu Biro Sukan merupakan satu medium penting untuk menjana muslimat yang hebat, perkasa, aktif, cergas dan cerdas melalui aktiviti sukan, dan kebudayaan yang dijalankan. Tambahan pula, ahli NISA’ yang melibatkan muslimat sahaja menambahkan lagi kebebasan dan keselesaan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti fizikal dengan menerapkan nilai keindahan Islam. Unit ini juga merupakan satu medium perantara untuk menghubungkan NISA’ dengan masyarakat melalui pendekatan yang mesra dalam mengukuhkan silaturrahim sesama muslimat.

Slogan:

“Kekal Sihat Bersama NISA’”

Visi Biro:

- Menerapkan nilai-nilai Islam dalam sukan dan kebudayaan.

Misi Biro:

- Memberi kefahaman dan kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat berlandaskan syariat Islam.
- Memasyarakatkan Nisa’ melalui medium sukan dan kebudayaan.

Objektif Biro:

- Mengadakan program-program riadah dan sukan serta aktiviti lasak yang bersesuaian untuk anggota masyarakat setempat.
- Mewujudkan kumpulan-kumpulan permainan yang berkaitan mengikut keperluan
- Melahirkan muslimat yang sihat dan aktif.

Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Thursday, May 21, 2009

Influenza - Inilah masanya kita berdakwah!

Bukan isu baru apabila haiwan babi menjadi ancaman kesihatan kepada manusia. Dahulu, kita didedahkan dengan penemuan cacing pita (aenia solium) di dalam daging babi yang mengancam kesihatan orang yang rutinnya memakan daging babi.

Kemudian sekitar 1998-2000, negara kita gempar dengan virus maut misteri yang berasal daripada babi, dan akhirnya dikenali dengan nama ‘Japanese Encephalitis’ (JE) dan virus nipah. Lebih 100 terkorban termasuk 30 orang kanak-kanak. Sebagai langkah pencegahan, ribuan anggota tentera dikerahkan untuk untuk memusnahkan ratusan ribu babi, terutama di Bukit Pelandok, Perak.

Terkini, dunia dikejutkan dengan penularan virus berbahaya yang dinamakan Influenza A (H1N1). Atau nama Melayunya Selsema Babi. Angka kematian terkini yang disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akibat wabak ini ialah seramai 72 orang daripada keseluruhan 8480 kes yang dikesan.

Wabak yang cukup mencemaskan. Memaksa sesetengah negara mengambil tindakan menghentikan kemasukan daging babi yang diimport dari luar. Di negara kita, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menghentikan serta-merta permit baru bagi mengimport daging babi. Malah, permit import yang diberikan kepada syarikat pengimport daging haiwan itu dari negara antaranya China, Eropah, Australia dan Vietnam akan ditarik balik sekiranya wabak Influenza A merebak lebih serius.

Semua orang tahu tabiat kehidupan dan makanan babi. ia haiwan yang sangat pengotor. Menyondol dan memakan apa sahaja yang disuakan kepadanya, termasuk najis haiwan atau manusia. Tidak hairan pelbagai parasit dan cacing berbahaya terdapat pada babi. Selain itu, sistem biokimia babi mengeluarkan hanya 2% dari seluruh kandungan uric acidnya, manakala 98% sisanya tersimpan dalam tubuhnya, menjadikannya haiwan yang sangat kotor.

Sudah terang lagi bersuluh. Ajaran Islam yang diwahyukan sejak 1,400 tahun yang lalu sudah mengambil tindakan mencegah segala penyakit dan virus yang berpunca daripada haiwan babi. Islam mengharamkan umatnya memakan daging babi. Di dalam Al-Quran bukan sekali disebut keharaman daging babi. Tetapi diulangi penegasan hukum ini dalam empat ayat, iaitu Al-Baqarah: 173, Al-Maidah: 3, Al-An’am: 145, dan Al-Nahl: 115.

Di dalam Sunnah pula, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyuruh berjaga-jaga dengan bekas makanan orang kafir yang digunakan untuk memasak babi. Abu Tsa’labah al-Khusyani bertanya Nabi, “Kami berjiran dengan Ahli Kitab, dan mereka memasak daging babi dalam periuk-periuk mereka, dan meminum arak di dalam bekas-bekas mereka”. Baginda menjawab, “Kalau kamu mendapati bekas-bekas lain, maka makan dan minumlah dalam bekas lain itu. Kalau kamu tidak mendapati bekas lain, basuhlah bekas-bekas itu dengan air, dan makan minumlah”. Direkod oleh Abu Daud dan Tirmizi. Kata Tirmizi, “Hadis hasan sahih’.

Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam juga pernah membuat perumpamaan untuk suatu yang haram dengan perbuatan memegang daging dan darah babi. Alangkah jelek dan kotornya perbuatan itu. Di dalam hadis Buraidah r.a, baginda bersabda, “Sesiapa bermain nardasyir (sejenis permainan), seolah-olah dia menyelupkan tangannya ke dalam daging babi dan darahnya”. Direkod oleh Muslim.

Hari ini terbukti bahawa ajaran yang diucapkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ribuan tahun dahulu bukan sebarangan ajaran. Ia ajarah yang penuh hikmah dan kebaikan. Ajaran yang terserlah tanda-tanda kebenaran dan kewahyuannya dari langit. Hanya mereka yang sombong dan angkuh sahaja yang degil dan memejam mata daripada menerima kebenaran.

Di kesempatan ini, ana menyeru kepada semua umat Islam agar bangun menyampaikan dakwah Islamiyyah kepada rakan-rakan sepejabat/sekelas yang Non-Muslim. Ajak mereka mengenali Islam dan menunjukkan nilai-nlai terbaik Islam. Larangan menjamu daging babi ialah hikmah kepada orang Islam. Maka jadikanlah ia senjata dakwah kita. Ayuh! Perhebatkan dakwah!

Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Sunday, May 10, 2009

Selamat Hari Ibu -dari Nisa'

Hari ini, moderator mengambil kesempatan yang ada untuk mengucapkan selamat hari ibu, kepada semua ibu dan juga bakal ibu yang membaca blog ini. Semoga gembira selalu , diberkati dan beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Sebagai manusia kita dilahirkan melalui perut ibu, ibu jugalah yang menyusukan dan menyuapkan kita dikala kita lapar dan dahaga.

Ibu jugalah yang setia menemani kita dikala kesedihan dan kesepian. Ketika kita gembira juga, ibu insan pertama yang berkongsi kegembiraan bersama kita. Ketika kita sakit, ibu juga yang bersengkang mata untuk kita, malahan banyak lagi perkara lain yang ibu lakukan terhadap kita, yang tidak dapat dibanding dengan orang lain. Tidak kira tohmahan atau kejian yang diterima oleh ibu, lantaran sikap buruk kita.

Alangkah hebatnya suara hati kasih sayang yang ALLAH titipkan kepada kita, melalui ibu.

Dalam dunia, setiap manusia hanya mempunyai satu ibu, bukan dua atau tiga, jadi hargailah ibu kita dengan sebesar-besar penghargaan. Cintailah ibu dengan sepenuh cinta.

Sekali lagi, Selamat Hari Ibu buat semua ibu-ibu di Malaysia dan seluruh dunia. Terutama sekali kepada ibu-ibu kami (Nisa' GP) kerana bersusah payah menyara dan mendidik kami sehingga kami menjadi cemerlang seperti sekarang. Untuk semua, hayati sajak yang telah dibuat oleh seorang kenalan sempena hari ibu ini..

Selamat Hari Ibu

Ibu..
Di saat ku melihat dunia,
Kau tersenyum menangis gembirra,
Tatkala ku dibesarkan,
kau berikan segunung kasih sayang,
Selaut belaian..

Ibu..
Akan ku gapai kejayaan biarpun tanah tak ku pijak,
Akan ku cari kejayaan untuk kau ibu,
Itu lah yang mampu membuatkan kau tersenyum gembira melihat ku,
Akan ku jadikan bunga-bunga di taman,
tempat lebah mencari madu,
Agar madu yang manis membuatkan hidupmu lebih bererti..

Ibu..
Pengorbananmu akan ku balas,
Pengajaranmu sentiasa jadi pegangan,
Biarpun ombak merobek dunia,
Kau tetap ibuku yang satu.


Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Saturday, May 9, 2009

Resepi Hari ini

Salam.

Hari ini Moderator amat gembira sekali dapat berkongsi dengan sahabat-sahabat di luar sana untuk mencuba resepi yang satu ini. Mudah dan menyelerakan. Moderator namakan sebagai 'resepi guna semula'. Apa tidaknya, adakalanya ada sahaja makanan/roti/biskut yang hampir-hampir nak expired akan dibuang begitu sahaja. Namun kali ini, moderator nak ajar supaya kita memanfaatkan segala makanan tersebut menjadi suatu yang lain, lebih menarik, lebih sedap dan yang penting tidak dibuang sesuka hati. Pelik atau menjengkelkan? Tidak mengapa. Mari kita tengok apa yang boleh kita lakukan dengan;

ROTI YANG DAH NAK EXPIRED

Ok, here we go!

Bahan
4 keping roti ] rendamkan dan mesinkan
2 cawan air panas ]
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan daun kucai [ potong pendek]
garam
minyak untuk menggoreng

Bahan mesin
1 labu bawang besar
2 biji cili merah
1/2 cawan ikan bilis
1 biji telur

Cara
1. Gaulkan semua bahan kecuali minyak supaya sebati.
2. Biarkan dalam 1/2 jam.
3. Panaskan minyak dan gorengkan seperti gorengan jemput-jemput2 biasa.
4. Hidangkan bersama cili sos atau kuah kacang

SENANG MUDAH DAN BERTAMBAH KENYANG JIKA KITA MAKAN JEMPUT-JEMPUT ROTI INI... Jangan tunggu lagi, selamatkan roti yang sudah menghampiri tarikh expired di rak dapur anda!

p/s : ramai yang bertanya pada saya, apa indikator seseorang itu pandai masak? Jawab saya, orang yang pandai masak ialah orang yang boleh menggunakan apa sahaja yang ada di dapurnya (hatta tinggal bilis dan lada) dan jadikan barang-barang mentah tersebut suatu hidangan yang boleh dimakan oleh dia dan sesiapa sahaja di sekelilingnya tanpa sebarang complaint. Malah, lebih bagus lagi jika sempat menamakan hidangan tersebut. Mudah intepretasi saya terhadap seseorang yang dikatakan pandai memasak. Memasak perlukan kekreatifan.

Ayuh Nisa' GP, kita perlu kreatif. Bukan sahaja dalam masakan, namun kita perlu juga kreatif untuk mendekati mad'u kita di luar sana. Wallahualam. Sehingga bertemu lagi!

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepadaorang-orang yang khusyuk" -Surah Al-Baqarah ayat 45

Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Tuesday, May 5, 2009

Pengenalan Unit Khidmat dan Kaunseling

Unit Khidmat dan Kaunseling berperanan sebagai “the lending ears” kepada generasi muda dengan cara:

Menjaga kebajikan ahli secara proaktif.

Bekerjasama dengan Unit Pembangunan Insan dan Unit Kerjaya untuk melahirkan ahli NISA’ yang serba boleh.

Menjalin hubungan akrab dengan rumah perlindungan dan rumah kebajikan (khusus untuk remaja dan wanita muda).

Antara MODUL Unit Khidmat & Kaunseling:

Kaunseling Maya : www.webnisa.net

Telekaunseling : NISA' Careline

NISA’ Friendly Visit

NISA’ Away Day

NISA' Group-binding

NISA' Outreach
Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Selamat Hari Lahir ZAFIRAH

DIARI MAC


Sambutan yang ringkas namun penuh makna


Kek yang unik


Nisa' sayang Zafirah!

Bulan Mac mencatatkan sambutan hari jadi yang ketiga buat adik Zafirah yang mana pihak Nisa' GP turut dijemput untuk sama-sama meraikan hari jadinya. Semoga Zafirah menjadi anak yang solehah dan bersama-sama dalam perjuangan Islam hingga ke akhirnya.

Selamat Hari Lahir Zafira! Semoga Allah menyayangi Zafirah sokmo!





Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Pengenalan Unit Pembangunan Insan

Unit Pembangunan Insan berperanan mendidik generasi muda dengan membangkitkan semangat menyintai ilmu dunia dan ilmu akhirat melalui program yang mudah, ceria serta menarik.

Di samping bergembira menerokai ilmu bersama teman-teman baru, ahli NISA' berpeluang berkongsi dan menceduk pengalaman bagi mempertingkatkan peribadi dan personaliti diri bersama ahli-ahli yang lebih senior.

Antara MODUL Unit Pembangunan Insan:

Jalan-Jalan Cari Ilmu

Modul I'm Proud 2B A Muslim

Quranic Circle

Nisa Games

Nisa Jamboree

Movie & Song Critix

Personality Grooming Courses

Self Development Courses

NISA' Xplore Race

Parables in The Quran

OK 2 Karaoke
Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Monday, May 4, 2009

Nisa' Gelang Patah ; 'Nisa' Catering

Firman Allah dari surah Al-Balad, ayat 4:

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia sentiasa dalam perjuangan yang sukar dan penat” (90:4)


Penat!! Namun menyeronokkan!! Dalam kesibukan mengejar karier dan menguruskan kehidupan seharian sebagai anak, isteri dan pekerja, kami masih diberikan peluang oleh Allah untuk melakukan amal kebajikan kepada masyarakat di luar. Syukurlah, dengan semangat juang yang tinggi dalam diri setiap ahli Nisa' Gelang Patah, kami telah berjaya menubuhkan 'Nisa' Catering Team' buat julung kalinya.

Baru-baru ini juga kami telah mendapat tender katering untuk 300 orang selama 2 hari 1 malam. Ketua Chef kami, Kak Zi berjaya melaksanakan tanggungawabnya dengan cemerlang di samping mengawal lebih kurang 10 orang taiko-taiko chef yang bermacam-macam karenahnya. Tahniah Kak Zi dan member team catering yang lain. Thumbs up!

Walaupun kepenatan, kami tetap seronok dan gembira kerana misi kali ini berjaya!

Antara cabaran dan keseronokan yang dihadapi sepanjang 2 hari ini;

1. Kami masak dalam ribut/hujan yang amat lebat di malam hari

2. Tempahan yang diterima pada mulanya 150 orang sahaja pada sebelah petang, namun jumlah yang makan melebihi 200 orang! Tuhan saja yang tahu perasaan kam yang merasakan ketidakcukupan makanan buat tetamu. Namun akhirnya, ia cukup. Benarlah 'Allah lah yang mencukupkan sesuatu bagi hamba-hamba-Nya.

3. Kereta salah seorang Chef Nisa' mati ditengah-tengah kesesakan lalu lintas di Senai. Kelam-kabutnya kami menolak kereta ke tepi jalan dan mendapatkan pertolongan daripada pihak tertentu merupakan pengalaman yang cukup manis buat kami. Dua orang anggota Nisa' mengawal lalu lintas dengan memberikan isyarat kepada kenderaan yang lain, seorang yang lain erat dengan telefon menunggu panggilan masuk. Yang lain-lain menunaikan solat di dalam kereta. Mujurlah ada lebihan air masak yang dibawa di dalam bekas air bagi mengambil wudhu'.

4. YANG PENTING : Tidak seorang pun taiko chef dapat tidur melebihi 2 jam setengah pada dua hari berturut-turut ini. Letih dan pening kepala jadinya.


Episod tarbiah bermula

Bukan sekadar katering, ada skil sebagai 'waitress'!


Nisa' Gelang Patah yang BEST!


Memang sedap!


Ulam-ulaman. Nyum!!

Masih mengemas

Sarapan pagi


Si cilik sabar menemani ibunya


Episod tarbiah 'extra'

Polisterin 'ice box' di atas kereta sebagai tanda isyarat

Mengawal lalu lintas yang sesak

Tangan yang berjuang


Buat setiap srikandi Nisa' Gelang Patah, bersemangat dan bersungguh-sungguhlah dalam setiap perkara yang kita lakukan. InsyaAllah, ganjaran daripada Allah akan datang kepada hamba-hamba yang ikhlas membantu agama Allah.

Syukran jazilan daripada pihak moderator nisagp.blogspot kepada semua yang terlibat dalam acara katering kali ini. Sesungguhnya tanpa usaha dan kekentalan daripada kalian dan pertolongan daripada Allah Azza Wa Jalla, maka misi kita tidak berjaya seperti ini. Tahniah dan syabas!

Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya.” (Al-Insyiqaq: 6)


p/s: Ingin mendapatkan tempahan katering dari kami? Hantarkan maklumat dan no telefon anda di 'post comment' Nisa' Gelang Patah. Kami akan merespon anda dengan segera.


Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Sekitar Nisa' Indoor Games 2009 di Shah Alam


Buat julung kalinya Nisa' telah menganjurkan Nisa' Indoor Games ataupun permainan rakyat melayu yang dikelolakan oleh Nisa' Malaysia. Bertempat di Dewan Jubli perak, Bangunan Sultan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 25 april 2009 bermula jam 8 pagi hingga 6 petang. Sebanyak 14 buah negeri telah mengambil bahagian.Nisa' Johor telah menghantar lebih kurang 42 orang peserta untuk mengambil bahagian di setiap aktivti. 30 antaranya merupakan peserta setiap permainan yang dipertandingkan. Majlis telah dimulai dengan perbarisan oleh setiap negeri.

Gimik perasmian yang agak unik di mana seramai 30 org ajk (Wakil Nisa' Shah Alam) berlakon sebagai buah catur mewakili johan catur kanak-kanak Malaysia iaitu adik Nurnabila. Adik Nurnabila telah dipilih sebagai ikon bagi Nisa' Indoor Games kali ini. Seterusnya ucapan persamian oleh Pengarah Nisa' Malaysia, Kak Mas dan sedikit kata-kata motivasi oleh beliau telah merangsang semua pemian untuk bermain dengan bersunggug-sungguh!

Rata-rata peserta begitu bersemangat dan tidak sabar utk memulakan pertandingan. Lebih kurang jam 10.30 pagi permainan bermula secara serentak. Antara pertandingan yangtelah dipertandingan ialah Batu seremban, Catur, Congkak, Carom, Ceper, Dart, Dam Aji dan Dam Ular, Setiap permainan di bahagikan kepada 2 kategori iaitu kategori remaja (15-25thn) dan kategori umum (26-40thn). Terdapat juga kategori walk in di mana setiap individu dibenarkan bermain semua permainan dengan bayaran RM 5.

Permainan berlangsung dengan lancar dan dihentikan seketika untuk rehat dan solat dan solat pada jam 1.30 tengahari dan disambung pada jam 2.30 petang. Sesi petang menyaksikan acara-acara semi final dan final.

Majlis penutup menjadi kemuncak acara yang dirasmikan oleh Dr Halimah, Exco Selangor. Pastinya Nisa' Indoor Game menjadi kenangan yang indah buat peserta yang menyertainya, kerana mempunyai kelainan dan kemeriahannya yang tersendiri. Nisa' Gelang Patah mengucapkan tahniah kepada yang menang dan kepada yang tidak menang, semangat juang yang ditunjukkan amat dihargai! Tidak lupa terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan NIG ini secara langsung atau tidak langsung. Tahniah!

Kejayaan Nisa' Johor : Merangkul 7 pingat dalam NIG kali ini. Syabas, teruskan usaha!



Naib Juara Catur Dewasa - Nisa' Gelang Patah (Mewakili Nisa' Johor)

Singgah menunaikan kewajipan sebagai Hamba-Nya

Cenderamata Menarik!


Walk in game - Snake and Ladder


Tidak melepaskan peluang bermain semua permainan yang ada


Memang ramai yang hadir. mengahampiri 600 orang!

Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~