Tuesday, May 26, 2009

Wanita dan kerjaya

Penglibatan dan peranan wanita dalam membangunkan masyarakat dan negara adalah penting berasaskan kepada tugas dan tanggungjawab malah merupakan satu usaha positif untuk mencapai tahap lebih tinggi berdasarkan kepada konsep pembangunan bersepadu iaitu dari aspek fizikal dan mental setanding dengan kaum lelaki.

Islam tidak menghalang wanita untuk melakukan pekerjaan di luar rumah sekiranya ia merupakan keperluan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Malahan Islam menganggap pekerjaan yang dilakukan oleh wanita atau lelaki merupakan suatu ibadah selagi dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tidak terkeluar dari landasan dan peraturan Islam.

Sebagai contoh, wanita-wanita pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. turut sama membantu keluarga mereka seperti menggembala, bertani, berniaga dan sebagainya. Contohnya Asma´ binti Abu Bakar yang bekerja sebagai petani dan membantu suaminya mengangkut hasil buah tamar dari ladang ke pasar yang jauhnya kira-kira 1.4 km.

Adalah menjadi kebiasaan bagi wanita bekerja membantu keluarga dan penglibatan mereka tidak menimbulkan masalah kerana dalam budaya masyarakat Malaysia tugas-tugas di luar rumah sudah menjadi perkara biasa dan sangat diharapkan bagi membantu menambahkan pendapatan keluarga yang nyata memerlukan sumber kewangan lebih.

Secara lazimnya, seseorang wanita yang telah berumah tangga akan bertanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir keluarga serta melaksanakan tugas sebagai seorang isteri atau ibu. Maka perbelanjaan rumah yang diberikan mesti digunakan sebaik mungkin dan pelajaran anak-anak juga merupakan keutamaan bagi seorang wanita.

Bagi wanita yang berkerjaya, tanggungjawab mereka juga semakin bertambah kerana wanita yang berkerjaya perlu melaksanakan tanggunjawab sebagai pekerja dan memastikan segala tugasan dilakukan dengan sempurna maka secara tidak langsung wanita bukan sahaja memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu, malahan sebagai pekerja.

Faktor pertama yang menyebabkan wanita bekerja ialah pendidikan yang mereka miliki dan keiinginan untuk mahu menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang ada secara total.

Tidak dapat disangkal lagi wanita yang bekerja dapat mengimplementasikan pengetahuan dan kemahiran yang ada pada mereka dan dalam masa yang sama mereka mampu memperoleh pendapatan sendiri sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Perubahan sosial dan keperluan ekonomi yang tinggi juga merupakan antara faktor wanita keluar bekerja kerana tuntutan ini memerlukan mereka membantu suami untuk membentuk keluarga yang bahagia dan selesa serta meringankan beban suami.

Walau apa sekalipun faktor yang menjuruskan wanita, isteri dan ibu keluar bekerja, tanggungjawab dan pembahagian masa antara keluarga dan kerjaya perlulah seiringan agar tidak mengabaikan mana-mana pihak.


Wanita yang bekerja perlu memastikan keperluan rumahtangga dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu perlu dilaksanakan sebaik mungkin walaupun mereka terpaksa bekerja pada siang harinya dan ketika di pejabat mereka juga perlu memberikan komitmen yang penuh untuk melunaskan tugas yang diberikan kepada mereka.

Wanita perlu menghargai kepercayaan yang diberikan oleh suami kepada mereka dan perlu menjaga nama baik suami dan keluarga ketika berada diluar dan pihak suami sewajarnya memberi perhatian dan panduan serta bimbingan sekiranya isteri mereka memerlukan pendapat dan tempat untuk meluahkan masalah kerana sifat tolak ansur dan tolong-menolong ini mampu melahirkan keluarga yang aman bahagia.
Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Monday, May 25, 2009

Sambutan Hari Guru PASTI kawasan Gelang Patah

Disediakan oleh : Cik Aina -Laporan dari Biro Sukan NISA’GP

Alhamdulillah, pada Sabtu yang lepas (16 Mei 2009), bertempat di Stadium Mutiara Rini telah diadakan Sambutan Hari Guru beserta Sukan PASTI. Aksi-aksi pemain cilik dari pelbagai PASTI dari kawasan Gelang Patah amat mencuit hati… Sangat comel dengan tiang gol dan jaring netball yang disifatkan saya sebagai comel (tak sia-sia siapa yang buat tiang gol tu-kredit buat Pemuda Kawasan). Seronok bila melihat adik-adik PASTI ni bermain, apatah lagi melihat AJK-AJK program yang terdiri dari Pemuda, Unit Amal, dan NISA’ yang bertungkus lumus untuk menjayakan program ini. Semoga pengorbanan kalian diganjari oleh Allah di akhirat kelak. InsyaAllah.


Penglibatan NISA’ sedari awal membuatkan ianya boleh dikatakan di handle oleh NISA’ yang diketuai oleh Pn. Rozita Abdul aka Kak Zie. Beliau yang dibantu oleh Kak An, dan Husna telah membawa group NISA’nya bersama dalam menyediakan hadiah-hadiah untuk peserta cilik yang bakal menang.

NISA’ GP juga telah mengambil tender untuk membuat breakfast pada pagi hari kejadian. Seawal jam 1 pagi, ahli-ahli NISA’ dibantu oleh guru-guru PASTI SISWA 2 telah menyediakan juadah nasi lemak tersebut (sedap,..rugi siapa yang tak dapat merasa).. Macam-macam gaya dipamerkan semasa membuat kerja-kerja memasak ni (kredit untuk PASTI SISWA 2 kerana sudi menyediakan ruang untuk kami , NISA’ bermalam di sana). Di samping memasak, sebahagian ahli NISA’ ditugaskan untuk menyampul hadiah-hadiah buat para pemenang nanti dan selebihnya melakukan ibadah sunyi.

Seawal jam 8 pagi, kaunter pendaftaran untuk peserta-peserta sukaneka PASTI telah dibuka dengan barisan penjaga kaunter yang penuh dedikasi (Kak Mila, Jun, Kak An dan Husna) dan selebihnya bertebaran di stadium Mutiara Rini untuk meneruskan tugas-tugas yang diamanahkan.

Dengan cuaca yang agak panas pagi tu, alhamdulillah,kerja-kerja mengadili pertandingan telah dilakukan dengan jayanya yang diketuai oleh En. Sya’rani untuk bola sepak dan Kak Na sebagai ketua untuk group pengadil bola jaring. Buat goup pengadil, lepas ni pakai whitening cream banyak-banyak yer. Huhu…Sebenarnya, lagi seronok rasanya jika dibuat pada waktu malam dengan sportlight yang begitu terang kat stadium tu dan cuaca malam yang bakal menggigit tulang (just imagination, banyak pro dan kontra hehe..).

Di pertengahan program, Kak Zie pun menunjukkan bakatnya sebagai pengacara majlis, bergandingan dengan MC utama akh Ridwantoyang ditemani zaujahnya dan si comel Maisarah. Pelbagai aksi dan gelagat telah dipamerkan peserta dan ibu bapa peserta semasa program dijalankan. Ramai peserta telah membawa pulang hadiah sebagai tanda penyertaan mereka dalam sukan PASTI tersebut. Yang pastinya, mereka berasa gembira dengan program ini (sempat menemuramah adik Sakinah dan adik Hidayah dari PASTI SISWA 3 yang begitu gembira dengan hadiah yang berjaya dimenanginya). Si comel Zafira, puteri kepada Kak Zie, telah juga berjaya membawa pulang hadiah-hadiah yang dimenangi .


Tahniah juga buat peserta-peserta bola sepak dan bola jaring PASTI. Dengan training yang berkesan dari guru-guru PASTI sendiri, AlhamduliLlah kalian berjaya menyudahkan permainan dengan ‘comel’nya. Tapi, nak wat camne, PASTI SISWA 2 yang telah berjaya menjuarai pertandingan bola jaring dan bola sepak juga, dan mereka bakal mewakili kawasan Gelang Patah ke peringkat yang seterusnya.


Pada akhir program, pertandingan untuk guru-guru PASTI juga telah diadakan setelah gimik untuk guru-guru PASTI dilakukan. Banyak mehnah dan tribulasi semasa menjayakan gimik ni tau, dengan belon yang terbang pada saat-saat akhir dan kesukaran untuk mengisi belon tersebut dari tong helium huhu.. Tetapi, alhamduliLlah, berjaya disiapkan juga dengan kerjasama dari sahabat-sahabat dan pastinya dengan bantuan Allah (apa yang penting..kerjasama). Dan program ini ditutup dengan acara meniup belon sehingga pecah oleh murid-murid PASTI pelbagai peringkat umur.

Banyak pengajaran juga boleh diambil dari program ni antaranya:
· Pentingnya kerjasama dari setiap individu dalam merealisasikan sesebuah program
· Kanak-kanak umpama kain putih yang mana perlu dicorakkan sebaiknya
· Kesungguhan dan kemahuan penting dalam melakukan sesuatu perkara
InsyaAllah, post mortemnya akan diadakan pada hari Ahad iniJ. Di kesempatan ini juga, ingin memohon maaf sekiranya ada tersalah dan tersilap sepanjang program.


Buat AJK-AJK dan sahabat-sahabat yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini, kredit untuk kalian. Tahniah diucapkan. “Berpenat lelahlah kerana sesungguhnya kesenangan itu selepas kepayahan. Usahlah berdukacita kerana hidup ini meletihkan, kerana demikianlah hidup itu diciptakan…” (Imam Syafie)

“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ad kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh (urusan) yang lain” (Surah 94: 5-7)


Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~

Pengenalan Biro Sukan

Pengenalan

Kekuatan jasadiah menjadi asset yang penting ke arah mengoptimumkan tenaga demi keberlangsungan gerak kerja Islam. Biro Sukan NISA’ Gelang Patah telah diwujudkan sebagai pelengkap kepada organisasi NISA’ Gelang Patah yang bukan sahaja cakna terhadap isu semasa masyarakat tetapi juga menjadikan sukan dan kebudayaan sebagai satu wahana dakwah kepada masyarakat. Muslimat sebagai sayap kiri dalam perjuangan membuktikan muslimat mampu untuk menyumbang tenaga, proaktif setanding dengan muslimin. Oleh itu Biro Sukan merupakan satu medium penting untuk menjana muslimat yang hebat, perkasa, aktif, cergas dan cerdas melalui aktiviti sukan, dan kebudayaan yang dijalankan. Tambahan pula, ahli NISA’ yang melibatkan muslimat sahaja menambahkan lagi kebebasan dan keselesaan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti fizikal dengan menerapkan nilai keindahan Islam. Unit ini juga merupakan satu medium perantara untuk menghubungkan NISA’ dengan masyarakat melalui pendekatan yang mesra dalam mengukuhkan silaturrahim sesama muslimat.

Slogan:

“Kekal Sihat Bersama NISA’”

Visi Biro:

- Menerapkan nilai-nilai Islam dalam sukan dan kebudayaan.

Misi Biro:

- Memberi kefahaman dan kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat berlandaskan syariat Islam.
- Memasyarakatkan Nisa’ melalui medium sukan dan kebudayaan.

Objektif Biro:

- Mengadakan program-program riadah dan sukan serta aktiviti lasak yang bersesuaian untuk anggota masyarakat setempat.
- Mewujudkan kumpulan-kumpulan permainan yang berkaitan mengikut keperluan
- Melahirkan muslimat yang sihat dan aktif.

Klik 'Like' untuk sebarkan...
MOHON SEBARKAN~ TERIMA KASIH~